umno-reform.com

Lonjakan Perkasa Bangsa

DISKUSI MENGENAI AMANAT PAK LAH DALAM PERHIMPUNAN AGUNG 2005
Bawah artikel ini ada ruangan untuk saudara/ri memberi pendapat dan berbincang mengenai ucapan Pak Lah. Keseluruhan teks sengaja di pamerkan untuk bacaan saudara/i sebelum membuat komen


'Lonjakan Perkasa Bangsa'


UCAPAN YAB DATO’ SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
PRESIDEN UMNO DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-56
DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTERA (PWTC)
21 JULAI 2005


“LONJAKAN PERKASA BANGSA”

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden
Naib Presiden-Naib Presiden
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Tuan-Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Besar
Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL
Wakil Parti-Parti dari luar negara
Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan
Para Perwakilan dan Pemerhati


MUKADIMAH

1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, kita berkampung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, untuk melangsungkan Perhimpunan Agung Tahunan UMNO. Bagi pihak Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, saya mengalu-alukan kehadiran para tetamu, para perwakilan dan para pemerhati.

2. Kehadiran bekas pemimpin-pemimpin UMNO di Majlis ini amatlah besar ertinya. Mereka adalah contoh ahli UMNO yang sejati, cekal bersatu, kekal bersetia, taat berkhidmat bersama UMNO. Meskipun telah tidak memegang jawatan di dalam parti mahupun di dalam kerajaan, mereka tetap bersama UMNO secara zahir – secara batin. Kehadiran mereka, menjadi teladan yang membuktikan jiwa besar mereka, menzahirkan ikatan kasih – melambangkan tanda setia, kepada parti dan kepada bangsa. Semangat dan sikap yang mereka tunjukkan, wajib tersemai di dada setiap ahli yang sejati berjiwa UMNO.

3. Kepada semua pemimpin di peringkat Perhubungan, Bahagian dan Cawangan dan kepada sayap-sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri saya mengucapkan terima kasih kerana telah berjaya melaksanakan mesyuarat di peringkat masing-masing. Kejayaan melangsungkan mesyuarat mengikut jadual, memperlihatkan keupayaan kita menguruskan organisasi parti secara teratur lagi berdisiplin, berlandaskan perlembagaan; dan ini menyemarakkan lagi budaya demokrasi subur berkembang.

4. Perhimpunan ini adalah forum terpenting memberikan kesempatan kepada perwakilan bersuara menyentuh perjalanan parti, urusan kerajaan, keadaan semasa negara dan situasi antarabangsa, dalam usaha melangsungkan perjuangan untuk bangsa, negara dan agama. Perhimpunan ini adalah forum tertinggi parti untuk membincangkan isu-isu, menyuarakan pandangan, menyarankan cadangan dan merumuskan resolusi, agar aspirasi ahli dan aspirasi rakyat dapat difahami – dapat dipenuhi. Kepimpinan akan menjadi lebih berkesan, jika ahli-ahli secara jujur – secara ikhlas, secara berani – secara tegas, menyuarakan kebenaran. Kepimpinan akan menjadi bertambah berkesan, jika pemimpin pula bersedia, dengan dada lapang – fikiran terbuka, menerima suara dari ahli-ahli lalu memberi perhatian kepada setiap teguran, pandangan, saranan dan cadangan.


SENARIO SEMASA

Saudara-Saudari

5. Dunia menyambut tahun 2005 dengan perasaan hiba dan sedih. Bencana tsunami melanda Lautan Hindi pada 26 Disember lalu. Lebih dua ratus ribu nyawa terkorban. Lebih dua juta warga Asia menjadi miskin, hilang harta – hilang sumber pencarian. Peristiwa tersebut adalah satu peringatan kepada manusia akan kebesaran kuasa ILAHI. Bencana tersebut telah memperlihatkan rasa kemanusiaan yang tinggi di kalangan warga dunia. Pelbagai bentuk bantuan dihulurkan, termasuk dari kalangan warga Malaysia. Betapa dunia ini akan menjadi lebih aman dan lebih tenteram, jika sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi ini, dijadikan pegangan hidup terutama di kalangan mereka yang memiliki kuasa.

6. Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2005 akan berada pada tahap sederhana. Harga minyak dunia yang terus meningkat mempunyai kesan langsung kepada ekonomi dunia. Asia terus bangkit untuk menjadi pusat graviti pembangunan dan paksi utama ekonomi dunia. Asia Timur memiliki segala potensi untuk menjadi pusat perdagangan dan pusat ekonomi dunia. Di samping China dan Jepun, India sedang bergerak rancak dan diramalkan dalam tahun 2015, menjadi kuasa ekonomi ketiga dunia selepas China dan Amerika Syarikat.

7. UMNO sedang melangkah masuk ke usia 60 tahun. Negara Malaysia di ambang usia 48 tahun merayakan kemerdekaan. Wawasan 2020, telah 15 tahun berlalu dan kini tinggal 15 tahun lagi untuk memastikan matlamat menjadi negara maju akan tercapai. Rancangan Malaysia Kelapan telah sampai ke hari senja Fajar Rancangan Malaysia Kesembilan akan menyingsing.

8. Kita berada di era globalisasi – era yang menjadikan dunia begitu terbuka lagi terdedah. Kita berada di era teknologi maklumat dan komunikasi – era yang ditimbuni pelbagai maklumat dan merangkaikan dunia bagai tercantum. Kita berada di era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan – era ekonomi yang memberi nilai tinggi kepada pengetahuan dan harta intelek. Globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi, serta ekonomi berpaksikan pengetahuan, berpengaruh besar dalam mencorakkan budaya sosial, budaya ekonomi dan budaya politik warga dunia.


HUBUNGAN ANTARABANGSA

Saudara-Saudari

9. Dalam era globalisasi, Malaysia tidak dapat meneruskan agenda pembangunannya secara bersendirian. Pembangunan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada sumber domestik, tetapi juga kepada sumber-sumber kewangan, ilmu dan kepakaran dari luar. Dalam usaha memelihara kepentingan Malaysia di arena antarabangsa, kita perlu mengurus dan mentadbir secara bijak jalinan perhubungan yang diwujudkan dengan negara-negara lain melalui dasar luar yang berprinsip, bebas dan pragmatik. Adalah penting untuk Malaysia mengamalkan dasar luar yang berkecuali dan tidak bersekutu supaya perhubungan baik dapat dijalinkan dengan semua negara, walaupun berbeza pendapat dan ideologi. Namun, kita perlu konsisten dengan prinsip yang kita pegang supaya Malaysia kekal dihormati, mendapat kefahaman dan kepercayaan di peringkat antarabangsa.

10. Kepentingan negara di peringkat antarabangsa semakin menyeluruh; kerana itu pancang-pancang kepentingan Malaysia ditempatkan di serata dunia melalui pejabat-pejabat perwakilan dan pesuruhjaya perdagangan. Kita perlu menghadapi isu-isu sejagat menyentuh keamanan, kedaulatan, kemerdekaan, perdagangan global, sistem kewangan dan perbankan global, serta pelbagai lagi protokol antarabangsa. Kita menyertai pelbagai badan antarabangsa dan turut diberikan kepercayaan memimpin OIC dan NAM. Malaysia juga akan diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi ASEAN pada akhir bulan ini. Pertama kali dalam sejarah, Malaysia secara serentak dipertanggungjawabkan menjadi Pengerusi kepada tiga badan antarabangsa. Pada bulan Disember akan datang, kita akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Puncak Asia Timur yang pertama. Kita tidak mahu sekadar memanaskan kerusi sepanjang tempoh melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kita perlu membawa kemajuan dan memberikan dimensi baru kepada organisasi-organisasi antarabangsa tersebut.

11. Pada Jun 2004, Majlis Perniagaan NAM telah dilancarkan di Kuala Lumpur. Majlis tersebut bertindak sebagai platform kepada komuniti peniaga negara ahli untuk mewujudkan jaringan perhubungan kerjasama Selatan-Selatan. Pada Mei 2005, kita telah menganjurkan Mesyuarat Peringkat Menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali buat pertama kalinya bagi membincangkan isu pembangunan wanita. Deklarasi mesyuarat tersebut menegaskan bahawa peranan dan penglibatan wanita dalam segenap aspek, di semua sektor dan di pelbagai peringkat, adalah perlu bagi mencapai keadilan gender.

12. Adalah menjadi azam saya sebagai Pengerusi OIC untuk memberikan penekanan terhadap agenda ekonomi. Sejak Mac yang lalu, Malaysia telah melancarkan program membinaupaya bagi negara-negara miskin dalam OIC agar pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara mereka dapat dirangsangkan. Bahawa negara Islam yang lebih maju ekonominya akan lebih stabil politiknya, akan lebih dihormati di peringkat antarabangsa, akan berupaya bersuara secara lebih berkesan.

13. Selaras dengan wawasan tersebut, Malaysia mempelopori agenda pembangunan ekonomi untuk OIC. Malaysia merintis usaha menganjurkan Forum Perdagangan OIC pada 20 Jun yang lalu. Kita memulakan usaha menggubal Pelan Induk untuk membangunkan industri perkhidmatan kewangan Islam bagi tempoh 10 tahun. Tabung Bon OIC telah dicadangkan untuk membiayai program pembangunan prasarana, terutama di kalangan negara anggota yang miskin. Malaysia akan terus berusaha memperjuangkan agenda ekonomi OIC, terutama sepanjang tempoh kita menjadi Pengerusi OIC.

14. Keupayaan kita menyuarakan kepentingan kumpulan-kumpulan yang kita wakili, tanpa gentar dan ragu-ragu, telah membolehkan Malaysia berperanan secara berkesan di forum-forum antarabangsa. Malaysia dihormati kerana kebijaksanaan mengamalkan diplomasi halus secara tersirat, terutama dalam usaha merintis perdamaian serta membantu menyelesaikan krisis dan konflik. Malaysia berperanan aktif membantu menyatukan kumpulan-kumpulan yang berkrisis di Kampuchea, di Bosnia dan di Filipina. Malaysia akan tampil ke hadapan secara aktif untuk membantu program membangunkan Iraq dan proses damai di Palestin.

15. Malaysia berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan sesebuah negara, walau sekecil mana sekalipun. Berpegang kepada prinsip tersebut, Malaysia tegas dengan pendirian bahawa tanggungjawab mengawal perairan di Selat Melaka adalah tanggungjawab kita. Kita sama sekali tidak akan membenarkan tentera asing membuat rondaan di perairan berkenaan. Kehadiran mereka tanpa kebenaran kita, merupakan satu pencerobohan yang kita anggap tidak menghormati kedaulatan negara kita.

16. Imej Islam pada kaca mata masyarakat antarabangsa telah dihitamkan semenjak peristiwa 11 September di New York. Ini diperburukkan lagi dengan pelbagai insiden keganasan yang berlaku selepas itu. Yang terakhir, keganasan di London pada 7 Julai yang lalu. Dalam konteks ini, saya mempunyai tiga misi yang ingin dilaksanakan. Pertama, saya akan tegas menggesa masyarakat antarbangsa, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya memahami isu-isu yang menjadi punca sebenar yang mencetuskan keganasan, antaranya dasar kuasa besar terhadap Palestin dan Iraq. Kedua, sebagai Pengerusi OIC, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan kepada masyarakat dunia, bahawa Islam adalah agama kedamaian yang menentang keganasan. Ketiga, sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya bertanggungjawab untuk memaparkan kepada dunia bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam moden, dinamik, bertanggungjawab dan boleh dipercayai untuk menjadi rakan perdagangan, dan tempat yang selamat untuk melabur dan melancong.


ISLAM

Saudara-Saudari

17. Jika di halusi, orang Melayu telah berjaya menegakkan syiar Islam, bukan sahaja di negara kita tetapi di persada antarabangsa, melalui kemajuan negara dan kemajuan ummah yang telah kita capai. Kita juga sedar bahawa Islam dan ajarannya boleh diperalatkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara, untuk tujuan memenuhi agenda sempit. Atas nama Islam, mereka sanggup melakukan perbuatan melampau bersifat ganas. Yang amat kita sesalkan, tindakan mereka ini setiap kalinya membawa kepada kemusnahan, penderitaan dan porak peranda kepada manusia sejagat, termasuk juga orang Islam, yang rata-ratanya tidak berdosa.

18. Kita bertanggungjawab memastikan agar budaya ekstremisme dan tindakan ganas menggunakan nama dan lambang Islam sama sekali tidak berlaku di negara ini. Kita bertanggungjawab melindungi orang Melayu dan umat Islam, dari menjadi alat kepada mana-mana pihak yang mahu menjayakan agenda sempit mereka. Sebarang kealpaan akan memberi ruang kepada mereka, membuat pelbagai perubahan yang boleh memporak perandakan umat Islam dan juga menjejas hubungan harmoni yang terjalin antara kaum di negara ini.

19. Kerana itulah kita perkenalkan pendekatan Islam Hadhari. Pendekatan Islam Hadhari, memerlukan perlaksanaan jangka panjang kerajaan, untuk memastikan masyarakat Islam kembali mengamalkan Islam secara syumul, dalam konteks lebih luas dan pelbagai, meliputi segenap aspek kehidupan. Islam Hadhari kita perkenalkan, agar umat Islam di Malaysia bangun, menjadi pelopor tamadun baru yang dapat memimpin masyarakat dan membawa perubahan progresif lagi menyeluruh. Insya’Allah, umat Islam akan mampu bergerak, seiring dengan bangsa-bangsa yang telah mencapai taraf maju. Malah, umat Islam akan lebih perkasa untuk mempertingkatkan daya usaha, mengukir kejayaan lebih besar – mencipta kecemerlangan lebih agung, komited kepada usaha melahirkan umat terbilang. Alhamdulillah, pendekatan ini semakin diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Pendekatan Islam yang kita laksanakan semakin difahami dan sekaligus menghilangkan kebimbangan di kalangan rakyat bukan Islam.

20. Kejayaan kita mewarnakan imej Islam yang progresif lagi dinamik, telah menimbulkan kebimbangan kepada kumpulan politik yang selama ini, menganggap Islam sebagai monopoli mereka. Usaha-usaha sabotaj lalu dilakukan. Islam Hadhari sengaja disalahtafsirkan untuk menimbulkan kekeliruan. Islam Hadhari bukanlah satu penyelewengan terhadap kesucian ajaran Islam. Islam Hadhari merupakan satu pendekatan – satu kaedah yang menepati kehendak agama; satu usaha penambahbaikan untuk membolehkan perlaksanaan lebih menyeluruh dan bersifat semasa dapat dilakukan. Ia sama sekali tidak mengubah prinsip asas dan nilai teras ajaran Islam. Ia merupakan satu juzuk daripada kesempurnaan Islam yang perlu diberikan kefahaman dan penekanan berdasarkan keperluan dan cabaran semasa.

21. Mereka yang membuat tohmah, bahawa Islam Hadhari hanya memberikan penekanan kepada keduniaan, telah melakukan fitnah. Prinsip pertama Islam Hadhari, ‘Keimanan dan Ketakwaan kepada Allah’, secara nyata menetapkan bahawa pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai teras utama, Al Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai teras pegangan dan rujukan, fardhu ain - fardhu kifayah dijalin bersama. Pendekatan ini tidak susah difahami, jika tafsiran dilakukan secara ikhlas. Penerangan tentang Islam Hadhari turut dilakukan di peringkat antarabangsa. Bermula dari ucapan yang saya sampaikan di Universiti Oxford pada Oktober tahun lalu, perkara ini telah mendapat perhatian utama dalam lawatan-lawatan rasmi saya ke India, ke Pakistan, ke New Zealand, ke Australia dan ke Jerman. Hujah berhubung Islam Hadhari telah diterima baik.

22. Kita tetap mempertahankan pendekatan Islam Hadhari untuk menjadi tunjang pembangunan umat Islam di Malaysia. Insya’Allah, Islam Hadhari akan menjadi pendorong - menjadi inspirasi paling utama, mencetuskan kekuatan, untuk kita mengorak langkah besar ke hadapan, mencapai kecemerlangan, di samping memberi sumbangan ke arah pembangunan tamadun insan. Islam Hadhari dapat menjadi kompas, memandu kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk itu, program pembangunan Kerajaan akan dihuraikan dari perspektif Islam Hadhari, sama ada program pendidikan, ekonomi, kesihatan, membina keluarga bahagia, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah, mengatasi jenayah dan segala gejala buruk dalam masyarakat. Kerajaan akan memantau segala program yang dilaksanakan, yang berkait dengan Islam Hadhari, agar mencapai tujuan dan maksudnya.

23. Islam Hadhari memberi keutamaan kepada pembangunan membina peradaban. Kualiti kehidupan mesti kita perbaiki melalui pembangunan insan yang menguasai ilmu – menguasai kemahiran. Pembangunan fizikal yang diperlengkap dengan pembangunan insan, dilaksanakan secara berhikmah dan seimbang, akan berupaya mengembalikan kegemilangan dan keagungan Islam dan umatnya. Kecemerlangan Islam pada suatu masa dahulu akan kita garap semula di bumi Malaysia. Kegemilangan Islam ketika Tamadun Andalusia, kita jadikan benih inspirasi untuk di semai di Putrajaya.


EKONOMI

Saudara-Saudari

24. Malaysia kini berada dalam persaingan liga utama perdagangan dunia. Negara tidak diberikan sebarang keistimewaan dalam menghadapi persaingan peringkat global. Negara kecil seperti Malaysia berada dalam padang permainan yang sama untuk bersaing dengan kuasa-kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China, Jepun dan India. Walaupun menghadapi saingan sengit, kita bersyukur kerana Malaysia masih merupakan salah satu negara perdagangan utama dunia. Perangkaan tahun 2004 mencatatkan Malaysia menduduki tangga ke 18 terbesar di dunia dari segi eksport dan berada di tangga ke 20 dari segi import. Jumlah dagangan import dan eksport negara di tahun 2004 mencatat angka 882 bilion ringgit.

25. Malaysia telah diiktiraf sebagai negara kedua terpantas membangun selepas India, dan mengatasi China, berasaskan laporan Deutsche Bank mengenai potensi pertumbuhan 34 negara yang maju dan sedang membangun, dalam tempoh 2006 hingga 2020. Laporan juruperunding AT Kearney, menunjukkan Malaysia berada di antara 15 negara utama dari segi destinasi pelaburan asing (F.D.I.), dan berada pada tangga ketiga dunia sebagai lokasi “outsourcing”. Laporan AT Kearney bersama majalah Foreign Policy meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara dari Benua Asia, tersenarai dalam 20 negara paling global. Kedudukan Malaysia seperti ini adalah potensi besar negara kita. Kita mesti cepat mengambil peluang, merebut dan cepat bertindak, bersedia dan sanggup bersaing dan meraih nikmat sebanyak mungkin. Ke arah itu, persediaan secukupnya perlu dibuat. Rancangan Malaysia Kesembilan adalah perancangan dan juga pelan tindakan. Untuk itu, kita perlu menetapkan beberapa strategi.

26. Pertama; kita perlu melipat gandakan usaha memastikan pencapaian ekonomi negara berada di tahap tinggi dan mapan. Menyedari sumber kita adalah terbatas, kita perlu menguruskan ekonomi negara secara berhemah dengan memikirkan kesan jangka panjang kepada rakyat dan kepada negara. Amat penting bagi negara memikirkan tabungan dan simpanan untuk masa hadapan. Perbelanjaan negara harus dikawal, mengimbangkan keperluan pembangunan bagi menjana pertumbuhan dan pada masa yang sama memastikan bahawa negara tidak menghadapi defisit besar sehingga menjadi masalah membebankan, kerana perbelanjaan Kerajaan melebihi hasil.

27. Keputusan paling berat yang perlu saya lakukan di tahun pertama mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri adalah untuk mengurangkan defisit negara. Walaupun demikian, tidaklah bermakna kita sampai ke peringkat melakukan tindakan drastik hingga menyebabkan ekonomi menguncup. Kita lakukan pendekatan untuk mengurangkan defisit secara beransur-ansur supaya ekonomi dapat terus berkembang. Perbelanjaan pembangunan yang munasabah masih diperuntukkan. Kita membina kekuatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Bagi sesetengah pihak, ketetapan untuk mengurangkan defisit negara dilihat sebagai menafikan mereka dari sumber pendapatan yang biasa diperolehi. Saya amat sedar bahawa ketetapan kerajaan itu tidak merupakan keputusan yang popular dari segi politik. Namun bagi saya, kepentingan jangka panjang negara hendaklah diutamakan; kepentingan negara hendaklah mendahului kepentingan politik kumpulan atau kepentingan politik diri sendiri.

28. Kedua; membina ekonomi berasaskan pengetahuan. Sesungguhnya, Malaysia tidak lagi berada di kalangan negara-negara yang rendah kos perniagaannya. Malaysia pula belum dianggap berada dalam kumpulan negara-negara berteknologi tinggi. Negara sebenarnya tersepit di antara dua senario ini. Keadaan ini menuntut kita melakukan anjakan pendekatan, memberi perhatian berat terhadap usaha-usaha meningkatkan produktiviti, menggalakkan kreativiti dan inovasi, serta memberi fokus kepada bidang-bidang yang kita mempunyai kelebihan persaingan.

29. Rancangan Malaysia Kesembilan dirangka pada waktu Wawasan 2020 berada di fasa kedua. Komponen perkakasan dalam bentuk fizikal dan prasarana telah dibangunkan dengan hebat dalam masa 15 tahun pertama selepas Wawasan 2020 diperkenalkan. Di peringkat melangkah ke fasa kedua Wawasan 2020, tumpuan akan diberikan kepada komponen perisian, menyentuh pembangunan modal insan untuk mengoptimumkan penggunaan segala kemudahan yang telah dibangunkan di fasa pertama, demi menjamin bahawa matlamat mencapai taraf negara maju, menjadi realiti. Sumber manusia adalah elemen terpenting dalam ekonomi negara dan mesti ditambah nilai dan dibinaupaya. Program-program Penyelidikan dan Pembangunan, penguasaan sains dan teknologi, penguasaan ilmu dan kemahiran, perlu digalakkan bagi membolehkan warga menghasilkan ciptaan baru, produk baru, pendapatan baru, kekayaan baru.

30. Ketiga; usaha memperkukuh asas dan fundamental ekonomi negara serta menerokai bidang-bidang pertumbuhan baru. Sektor pertanian akan dimangkinkan melalui pengunaan bioteknologi dan kaedah pertanian termoden; sektor pembuatan ditingkatkan melalui penggalakan pelaburan dalam industri yang lebih berteknologi tinggi; sementara sektor perkhidmatan dimantapkan, khususnya dalam bidang-bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, sistem kewangan Islam dan pemasaran makanan halal yang mempunyai potensi besar.

31. Keempat; terus memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Kecekapan dan kepantasan sistem penyampaian di negara maju dan di negara-negara yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rancak harus dijadikan perbandingan. Para pelabur, termasuk para pelabur dari dalam negara, tidak ada masa dan tidak ada kesabaran untuk menanti lama. Para pelabur memilih tempat pelaburan yang memudahkan urusniaga. Dalam hasrat kita untuk sektor swasta menjana pertumbuhan ekonomi, sistem penyampaian yang cekap dan cepat menjadi semakin kritikal. Sistem penyampaian yang cekap dan cepat hendaklah benar-benar berlaku dan dilaksanakan, tidak sekadar tercatat di atas kertas. Kerenah birokrasi perlu dihapuskan. Malah sistem penyampaian yang cekap dan cepat berperanan besar menghindar rasuah. Amalan rasuah turut meningkatkan kos urusniaga dan sekali gus menjejaskan daya saing.

32. Kelima; usaha meningkatkan integriti dan membasmi rasuah meliputi setiap sektor – merangkumi setiap kumpulan; baik di sektor awam, di badan-badan berkanun kerajaan, di dalam Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), termasuk juga di sektor swasta. Kerajaan amat sedar bahawa rasuah mempunyai kesan meningkatkan kos pentadbiran, kos urusniaga dan kos pengeluaran, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan dan produk.
33. Keenam; meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memperbaiki kemudahan perumahan, kesihatan, pendidikan dan prasarana.

34. Ketujuh; membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh masa Rancangan Malaysia Kesembilan.

35. Kelapan; merapatkan jurang pendapatan dan jurang pembangunan. Melaksanakan langkah-langkah untuk merapatkan jurang antara bumiputera dengan bukan bumiputera, antara bumiputera sesama bumiputera dan meningkatkan pendapatan di kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana melalui usaha meningkatkan modal budaya. Begitu juga usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, dan di antara wilayah, dengan meningkatkan prasarana-prasarana asas dari segi sistem perhubungan dan komunikasi, bekalan elektrik dan air, serta institusi pendidikan dan kesihatan, di kawasan-kawasan yang masih tertinggal. Pendekatan inovatif perlu diperkenalkan untuk mempelbagai dan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pemasaran di kawasan luar bandar.

36. Kesembilan; memastikan sumber tenaga manusia bukan hanya dibinaupaya, malah ditingkatkan keupayaan (capacity enhancement). Pengangguran merupakan satu pembaziran lebih-lebih lagi apabila berlaku di kalangan mereka yang memiliki kelulusan akademik. Sektor awam dan sektor swasta tidak lagi dapat menampung bilangan siswazah yang semakin hari bertambah ramai. Para siswazah dan lepasan sekolah perlu dibuka mindanya merintis daya usaha untuk sedia bekerja sendiri. Institusi pengajian dan latihan perlu menilai bentuk-bentuk kursus dan pengajian supaya lebih relevan dengan keperluan semasa sumber manusia.

37. Kesepuluh; membina sebuah negara bangsa yang aman, stabil, makmur dan bersatu padu. Program ekonomi dan program sosial yang dirancangkan perlulah membuktikan sikap adil lagi saksama terhadap warga Malaysia yang berbilang kaum. Di samping itu, iklim pelaburan harus terus memberi keyakinan kepada para pelabur.

38. Saya menghargai sebarang pandangan dari para perwakilan yang boleh dijadikan input tambahan kepada Rancangan Malaysia Kesembilan yang sedang berada di peringkat akhir penggubalan.

AGENDA MELAYU
Saudara-Saudari

39. Orang Melayu bimbang jika mereka terus ketinggalan dari segi kedudukan sosial dan pencapaian ekonomi dan berada di belakang kaum-kaum lain di negara ini. Pada tahun enam puluhan, jurang pendapatan antara Melayu dan bukan Melayu amat luas. Pendapatan orang Melayu kurang dari separuh pendapatan bukan Melayu. Jurang ekonomi ini telah menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu. Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, Kerajaan sedar adalah penting untuk dilaksanakan program yang dapat mengimbangkan kedudukan sosial dan kedudukan ekonomi antara warga pelbagai kaum di negara ini. Orang Melayu perlu diberi peluang untuk berupaya mempertingkatkan diri, supaya dapat menikmati hasil kemakmuran ekonomi negara secara saksama. Dasar Ekonomi Baru (DEB) lalu diperkenalkan sebagai formula untuk menangani jurang ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara rakyat pelbagai kaum.

40. DEB memberi nafas baru kepada orang Melayu. DEB instrumental dalam menghasilkan lebih ramai individu Melayu yang berpendidikan dan berkemahiran. DEB berjaya meramaikan tenaga profesional dan pengurusan Melayu di peringkat tinggi. DEB telah membuka ruang untuk orang Melayu berpeluang menceburi pelbagai bidang keusahawanan. Ini memangkinkan pertumbuhan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Melalui DEB, kelas menengah Melayu telah berjaya diperbesarkan. DEB telah berjaya menaikkan taraf hidup dan pendapatan orang Melayu. Pada permulaan DEB, orang Melayu hanya berpendapatan 44 sen bagi setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan Melayu. Setelah berakhirnya DEB pada tahun 1990, orang Melayu telah berjaya merapatkan jurang pendapatan kepada 57 sen bagi setiap satu Ringgit, pertambahan sebanyak 30%. Pegangan ekuiti Bumiputera meningkat daripada 2% pada permulaan DEB kepada 19% pada tahun 2000.

41. Perangkaan sehingga ini menunjukan sasaran DEB masih belum tercapai sepenuhnya. Ketidakcapaian sasaran DEB bukan kerana kesilapan dasar. Ketidakcapaian tersebut antaranya disebabkan berlakunya ketirisan di peringkat perlaksanaan. Ini kerana perbuatan pihak-pihak yang lebih mementingkan keuntungan jangka pendek (rent-seeking). Peluang yang diberi, disalahgunakan. Peluang yang diberi, tidak diguna bagi membesarkan urusniaga atau meningkatkan kapasiti bagi menjamin kejayaan yang berterusan dan berpanjangan. Permit, kemudahan, kontrak dan lesen yang diperuntukkan kepada Bumiputera, diserahkan kepada orang lain, untuk keuntungan jangka pendek. Setelah itu mereka meminta peluang baru, kali kedua, kali ketiga, kali keempat dan seterusnya; hingga akhirnya lahir satu angkatan Melayu yang menjadikan peranan orang tengah sebagai profesion.

42. Bumiputera diperuntukkan kuota memiliki saham, dalam hasrat mencapai sasaran pegangan ekuiti Bumiputera. Malang bagi bangsa, apabila saham-saham kuota bumiputera, dijual dalam masa terdekat untuk keuntungan cepat. Ada pula individu Melayu diberikan amanah memimpin syarikat-syarikat, mudah berpuas hati dengan penyertaan secara simbolik, memilih berada di pinggiran. Lebih malang lagi apabila terdapat pula yang tidak memenuhi amanah dan melakukan penyelewengan. Selain dari menggagalkan pencapaian matlamat DEB, ketirisan yang berlaku telah mencemarkan imej Melayu, di samping menghakis keyakinan umum terhadap orang Melayu.

43. Masalah yang kita hadapi ini harus ditangani dengan minda dan wadah perjuangan baru. Ia menyentuh maruah bangsa. Ia mengancam survival bangsa. Malaysia di hari semalam, di era DEB baru diperkenalkan, berbeza dengan Malaysia di era ekonomi berpaksikan pengetahuan. Era ekonomi berpaksikan pengetahuan memberi pulangan kepada mereka yang berpengetahuan, mereka yang benar-benar bekerja, mereka yang berupaya menambah nilai. Orang Melayu harus mencetus semangat perjuangan baru. Kelemahan perlaksanaan DEB harus diperbetulkan. Kita hendaklah menyemarakkan usaha perjuangan Melayu dengan strategi pendekatan meningkat keupayaan yang dapat meningkatkan pendapatan orang Melayu, secara mutlak – secara berpanjangan. Sasaran kita adalah untuk mencapai matlamat pendapatan yang saksama, iaitu bagi setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan Melayu, orang Melayu juga akan menikmati pendapatan yang sama.

44. Insan adalah aset penting negara. Modal insan adalah penentu kepada ‘survival’ sesebuah negara. Modal insan merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambah, ditingkatkan nilai intelek serta diperkaya modal budaya. Pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Oleh itu, Kerajaan akan melipat gandakan usaha dengan memperbanyak dan mempelbagaikan program pembangunan insan di kalangan orang Melayu untuk membina kekuatan fizikal, mental dan rohani. Usaha akan ditingkatkan dan kemudahan akan ditambah untuk meramaikan anak Melayu menguasai sains – menguasai teknologi supaya sumber bekalan tenaga profesional Melayu terus terjamin.

45. Dalam merealisasikan hasrat tersebut, pendidikan dan latihan yang berasaskan pengetahuan dan teknologi terkini perlu diperkukuhkan dan akan menjadi teras utama agenda pembangunan Melayu. Agenda pembangunan Melayu mesti memberi tumpuan kepada perisian dan kandungan untuk berupaya meningkatkan kualiti hidup dan modal budaya. Orang Melayu tidak harus berhenti berusaha menimba ilmu – menguasai kemahiran. Orang Melayu harus belajar dan terus belajar sepanjang hayat. Peluang kepada orang Melayu dalam bidang keusahawanan, profesional atau pekerjaan akan terus disediakan. Namun, tatacara memberi peluang perlu dirangka semula, untuk mempastikan peluang diberikan kepada mereka yang benar-benar berkelayakan, berkebolehan serta mempunyai etika kerja - etika urusniga yang betul. Kegiatan meraih untung mudah melalui syarikat bertopengkan Bumiputera serta budaya niaga orang tengah, sementara sifatnya. Amalan ini bercanggah dengan semangat DEB dan perlu dihentikan.

46. Strategi baru ini juga akan memastikan orang Melayu dapat terus membangun tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan. Orang Melayu harus bijak mempelbagaikan pengetahuan, mempelbagaikan kemahiran, mempelbagaikan produk dan mempelbagaikan perkhidmatan, selaras dengan arus pembangunan ekonomi masa kini. Kerajaan tidak mahu orang Melayu selama-lamanya bergantung kepada aktiviti ekonomi yang sama dengan punca pendapatan yang terbatas. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera mesti berupaya berdiri di atas kaki sendiri dan merebut pelbagai peluang baru, sementara kerajaan berperanan sebagai pemangkin dan fasilitator. Jika sikap berdikari tidak disemai dan dijadikan prinsip, dikhuatiri hasrat melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera tidak mungkin tercapai.

47. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera perlu menjadi satu tenaga penggerak – satu kuasa pemangkin, menjayakan Melayu dalam bidang urus niaga. Usahawan Melayu perlu berkembang hingga dapat menjana kegiatan ekonomi kepada generasi pelapis, kepada anggota keluarga dan kepada bangsanya. Lebih ramai usahawan Melayu hendaklah berupaya memperbesarkan urus niaga hingga ke peringkat dapat mewariskan kepada anggota keluarga turun temurun. Berniaga dan berusaha sendiri mesti menjadi sebahagian besar budaya Melayu.

48. Sasaran pegangan ekuiti 30% Bumiputera perlu terus diusahakan. Pegangan hartanah orang Melayu tidak boleh dipandang ringan. Hartanah adalah sumber asli yang semakin terhad. Kita wajib memastikan milik hartanah Melayu terjamin, terutama di kawasan-kawasan bandar, supaya Melayu pada satu hari nanti tidak terpinggir di bumi dan tanah airnya. Tanah wakaf, tanah adat, tanah rezab Melayu, tanah pusaka, tanah pertanian tidak harus terbiar; malah perlu dimajukan, dirancang pembangunan yang dapat memberi nilai dan pulangan ekonomi tinggi.

49. Kita perlu lebih bijaksana dalam merangka strategi untuk mencapai matlamat DEB. Orang Melayu yang bersikap betul dan bersifat jujur, apabila diberikan peluang, berupaya membuktikan kejayaan. Begitu ramai anak Melayu mencipta kejayaan, berada di tangga sosioekonomi lebih tinggi, hanya dalam tempoh satu generasi. Melayu seperti inilah yang perlu kita ramaikan dan ditingkatkan kapasitinya.

50. Keadaan kritikal yang melanda sektor pembinaan perlu dijadikan pengajaran. Putaran ekonomi ada turun naiknya. Kini sektor pembinaan tidak serancak dahulu. Keresahan tentunya melanda para kontraktor Melayu. Yang paling terjejas adalah kontraktor ‘kelas F’; kalangan kontraktor awam yang menjalankan kerja-kerja di bawah harga 200,000 ringgit. Kontraktor ‘kelas F’ diwujudkan dengan tujuan membimbing bumiputera menceburi sektor binaan. Kerancakan yang berlaku dalam sektor binaan dalam tempoh masa 15 tahun yang lalu, telah memberikan tanggapan yang salah kepada kontraktor Melayu. Mungkin, ramai usahawan Melayu beranggapan, bahawa sektor binaan merupakan lubuk untuk dapat membantu mereka menjadi kaya secara berkekalan dan berterusan. Lalu mereka berlumba-lumba menceburi bidang ini. Mereka yang terkemudian, menceburinya pada ketika bidang ini sudah sampai ke tahap ketepuan (saturation point).

51. Dalam tahun 1992, bilangan kontraktor bumiputera berjumlah 2,049 meningkat kepada lebih 46,000 dalam tahun 2005, peningkatan lebih 2,000 % (dua ribu peratus) dalam tempoh 13 tahun. Dari bilangan tersebut lebih 42,000 berdaftar sebagai kontraktor ‘kelas F’. Hampir kesemua kontraktor ini mengharapkan kontrak kerajaan. Jika semua kumpulan dan kelas kontraktor digabungkan, terdapat lebih 63,000 kontraktor di negara ini; sebuah negara yang mempunyai 25 juta penduduk; menjadikan nisbah, satu kontraktor bagi setiap 350 penduduk (1:350); sedangkan di negara Jepun yang memperoleh pelbagai kontrak antarabangsa, nisbah kontraktor kepada penduduk adalah satu kontraktor bagi setiap 10,000 penduduk (1:10,000).

52. Dalam tahun 2003, Kementerian Kewangan meluluskan sebanyak 26 billion ringgit bagi kerja-kerja pembinaan dan bekalan, peruntukan tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakang. Dalam tahun 2005, sebanyak 22 billion ringgit diperuntukkan bagi sektor binaan dan khidmat bekalan, jumlah kedua terbesar dalam tempoh lima tahun kebelakang. Namun kerja-kerja binaan masih belum cukup untuk diagihkan kepada bilangan kontraktor yang begitu ramai. Nyatalah dalam sektor binaan, bekalan perkhidmatan telah jauh mengatasi permintaan. Terlalu ramai pemain berada dalam padang permainan yang semakin kecil. Dalam tahun 2000, kerajaan terpaksa melancarkan projek ‘pre-emptive’, meluluskan peruntukan 3 juta ringgit bagi setiap kawasan Parlimen bagi membantu ‘survival’ kontraktor ‘kelas F’. Sepatutnya para kontraktor telah dapat membaca mesej bahawa masa hadapan sektor pembinaan tidak lagi berlangit cerah. Kerajaan tidak akan dapat selama-lamanya berperanan sebagai ‘Santa Claus’, menganugerahkan pemberian sepanjang musim. Mereka sepatutnya mengenali realiti lalu mempersiapkan diri beralih ke sektor lain. Malangnya langkah sekali lalu (one-off) Kerajaan untuk menolong ketika itu, telah disalahtanggap mesejnya. Bilangan kontraktor yang sepatutnya menguncup, terus berkembang.

53. Kerajaan menerima banyak permintaan, desakan, malah ugutan untuk memperbanyakkan kerja-kerja binaan secara “pump priming”, (secara kerajaan memperuntukkan projek dan kontrak), seperti yang pernah dilakukan dahulu. Setiap ayat ada noktahnya. Setiap kitab ada penghujungnya. Kerajaan perlu mengambil pendirian berasaskan realiti. Kerajaan bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara secara berhemah; memikirkan kesan jangka panjang kepada rakyat dan negara. Perbelanjaan negara harus dikawal, mengimbangkan keperluan untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi dijana tetapi tidak pula meletakkan negara dalam keadaan kewangan yang tidak stabil dan berisiko tinggi. Semua negara turut tertakluk kepada hukum-hukum ekonomi ini. Tiada negara yang terpelihara daripada diisytiharkan muflis jika ia tidak dapat menampung perbelanjaannya. Kerajaan tidak boleh berpura-pura, bermain silap mata, menipu ahli UMNO – menipu orang Melayu – menipu rakyat, mengadakan yang tiada. Orang Melayu tidak harus dibina kekuatan berasaskan kepalsuan. Saya sedar ketetapan ini merupakan keputusan yang tidak popular. Tetapi, kita harus mengambil jalan yang betul. ‘Survival’ bangsa dan negara hendaklah diutamakan.

54. Orang Melayu perlu mencari sumber kekayaan baru, terutamanya dalam sektor-sektor yang orang Melayu telah lama bertapak dan mempunyai kelebihan. Sumber baru kekayaan banyak terdapat di sektor pertanian, perikanan dan industri-industri yang berkaitan. Sektor-sektor ini berupaya memberi jaminan pulangan berjangka masa panjang. Banyak potensi yang dapat diraih; tambahan pula dengan penggunaan kaedah bioteknologi. Kunjungan ke Netherlands meningkatkan keyakinan saya akan potensi besar yang terdapat dalam sektor-sektor ini. Sebuah negara seluas negeri Pahang, berupaya menjadi pengekspot barangan makanan dan pertanian kedua terbesar di dunia. Kita perlu mengubah minda dan merubah penilaian terhadap sektor tersebut. Orang Melayu hendaklah ke hadapan, merintis usaha menjadi petani moden – memajukan sektor pertanian – menggerakkan industri asas tani.

55. Kesediaan dan keberanian menceburkan diri dalam sektor-sektor baru yang berpotensi besar, dalam industri perkhidmatan dan industri pelancongan, dipercayai dapat membangunkan kumpulan usahawan Melayu yang lebih bijak meneroka peluang, inovatif dan lebih cekal untuk bersaing. Pengalihan aktiviti ke sektor-sektor baru ini amatlah perlu untuk memastikan penyertaan orang Melayu dalam sektor urusniaga dan ekonomi yang lebih lebar dan luas parameternya. Kerajaan juga akan memberi penekanan kepada pembangunan sektor industri kecil dan sederhana yang memiliki potensi besar untuk berkembang.

56. Kerajaan akan meneruskan dasar membantu perkembangan orang Melayu di sektor swasta dengan menyediakan pelbagai insentif dan membangunkan prasarana. Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau GLC akan memainkan peranan yang besar dalam agenda pembangunan bangsa Melayu. Program vendor dan perolehan GLC akan ditambahbaik untuk memberi lebih banyak peluang kepada vendor-vendor bumiputera yang tulen dan kompeten, berdaya saing – berdaya maju. GLC juga diarah menerajui sektor-sektor baru, merintis usaha – membuka jalan, kepada penyertaan sektor swasta bumiputera. GLC diminta memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, terutamanya membantu perkembangan dan pembangunan bumiputera dalam bidang profesional, pengurusan dan pentadbiran. Tumpuan perlu dijuruskan kepada komponen perisian, dari segi pengetahuan dan kemahiran, nilai dan etika. Usaha hari ini adalah usaha pengisian, usaha dalaman, usaha yang sukar dilihat secara zahir, usaha yang memakan masa untuk bangsa melalui satu marathon panjang. Bahawa perubahan itu memakan masa yang panjang, tetapi kita harus berani memulakan langkah pertama pada hari ini.

57. Wawasan 2020 jelas menggariskan bahawa menjelang tahun 2020, akan berlaku kesaksamaan kaum dengan tiadanya mana-mana kaum yang akan dikaitkan dengan kemunduran ekonomi. Bahawa kesaksamaan tidaklah bermaksud bahawa setiap individu perlu sama kedudukan ekonominya. Kesaksamaan yang dianjurkan perlu mengambil kira merit ataupun prestasi. Untuk tempoh 14 tahun yang akan datang, kita perlu membuat lonjakan besar sekiranya kita berhasrat mencapai tahap kesaksamaan. Usaha mengorak langkah perkasa perlu kita lakukan sekarang. Kita perlu menyusun strategi yang betul demi masa hadapan orang Melayu dan masa hadapan negara. Kita perlu memastikan bahawa segala tindakan berada pada landasan yang betul supaya kita tidak tersasar haluan.

58. Kita perlu belajar dari kejayaan. Kita harus mengambil iktibar dari kesilapan. Bahawa usaha-usaha untuk meningkatkan kedudukan dan prestasi masyarakat Melayu perlu dilakukan dalam konteks ekonomi Malaysia yang pesat membangun. Kita perlu mengambil langkah bijak memastikan kita secara saksama mendapat manfaat dari proses pembangunan pesat yang berlaku itu. Kita perlu memastikan pembaziran tidak berlaku; sebaliknya pengurusan ekonomi mempunyai wajah dan karakter yang melambangkan kecekapan, keberkesanan, keadilan dan kesaksamaan. Persaingan sengit yang perlu dihadapi tidak memberi ruang untuk pembaziran berlaku; tidak membenarkan tanggungjawab besar diserahkan kepada mereka yang tidak mempunyai cukup pengalaman, pengetahuan, kapasiti dan keupayaan. Kita perlu memastikan agar kecekapan dan keberkesanan dioptimumkan. Kita perlu memastikan agar setiap ringgit yang kita laburkan, membawa pulangan maksimum.

59. Tiada siapa boleh menafikan bahawa untuk tempoh masa yang lalu, ada di antara kita yang telah menerima terlalu banyak bantuan dan peluang. Ada juga yang menerima bantuan dan peluang terlalu sedikit. Ada pula yang tidak langsung mendapat bantuan atau peluang. Ini tidak adil. Ini jauh dari saksama. Ini sama sekali tidak boleh diteruskan. Ia perlu dihapuskan dari kamus amalan kita. Tidak akan pernah ada cukup kontrak, lesen, permit mahupun biasiswa untuk semua bumiputera. Kita perlu sedar bahawa apabila kita memberikan biasiswa kepada seorang pelajar bumiputera yang kurang layak, kita sebenarnya menidakkan hak pelajar bumiputera lain yang lebih layak. Ini jelas tidak adil. Menganugerahkan kontrak kepada syarikat bumiputera yang tidak boleh menjalankan kerja secara berkualiti sedangkan ada syarikat bumiputera lain yang lebih berwibawa, juga tidak adil dan tidak boleh diteruskan. Malah, ia merupakan satu pembaziran. Menganugerahkan lesen dan permit dengan tidak berasaskan kepada merit atau prestasi, juga merupakan satu pembaziran. Ia jelas satu ketidakadilan. Kita tidak boleh menutup sebelah mata, tidak boleh memandang ringan kepada segala amalan ini.

60. Segalanya ini adalah budaya yang boleh memusnahkan bangsa dan akhirnya menjatuhkan negara. Ini perlu kita hentikan. Kita meletakkan sasaran pencapaian, tetapi orang lain mentertawakan kita. Apa yang dapat kita banggakan jika pegangan ekuiti Bumiputera hanya tercatat di atas kertas, apabila berlaku ketirisan kerana ada Bumiputera yang digunakan memegang ekuiti tersebut bagi pihak orang lain. Ini penyelewengan namanya. Agenda ekonomi untuk Bumiputera tidak akan tercapai selamanya, jika keadaan ini dibiarkan terus berlaku. Kita perlulah berani melakukan langkah pembetulan secara tegas.

61. Kita tidak mungkin berjaya membuat lonjakan, sekiranya kita tidak memberi fokus kepada usaha memupuk budaya mencapai kecemerlangan, berdasarkan merit – berdasarkan prestasi di kalangan bumiputera. Kita harus berani membetulkan kesilapan yang berlaku. Ini mungkin berat; tetapi kita hendaklah memiliki azam politik, secara tegas, bertekad melakukan pembetulan. Kita sebenarnya melakukan langkah serius lagi bertanggungjawab untuk memperkuatkan Melayu. Jika kita terus melayan mereka yang hanya tahu menggunakan jalan belakang, kita sebenarnya menyuburkan satu budaya yang akan merosakkan bangsa. Kita harus membina budaya baru. Budaya orang Melayu berani berlumba, membina prestasi, memiliki merit, hingga mereka dapat bersaing dan bertanding di peringkat antarabangsa.

62. Asas paling kukuh untuk kita berjaya dalam persaingan yang berteraskan merit dan prestasi adalah kemahuan, kemahiran, kepakaran, ilmu pengetahuan, daya tahan dan kerja kuat. Jika setiap aspek ini disemai dan dipupuk dalam diri Melayu, kita tidak perlu bimbang, Insya’Allah kejayaan sedang menunggu orang Melayu. Jika komponen-komponen ini tidak ada dalam diri kita, janganlah bermimpi untuk kejayaan datang menggolek. Atas dasar inilah, bermula dari sekarang, dengan azam politik, dengan kekuatan politik yang ada pada UMNO, kita menumpukan fokus kepada sektor pendidikan dan sektor latihan, membangunkan modal insan – memperkaya modal budaya keluarga Melayu.

63. Orang yang berani membuat pembaharuan, percaya dan yakin, bahawa bantuan dan pertolongan paling besar dan paling penting akan kita terima, apabila kita memanfaatkan segala apa yang dikurniakan oleh ALLAH SWT. Dua tangan yang dikurniakan, dua kaki kanan dan kiri, dan yang paling penting akal fikiran kurniaan ILAHI. Kita tidak ada banyak masa. Bermula dari hari ini, marilah kita menyediakan diri, mengambil langkah membuat lonjakan; lonjakan perkasa bagi orang Melayu.

64. Menentukan kejayaan Melayu adalah wadah perjuangan UMNO – adalah amanah – adalah tanggungjawab. Matlamat kita adalah untuk melihat orang Melayu berperanan signifikan lagi bermakna. Wawasan 2020 telah meletakkan matlamat untuk mencapai taraf negara maju. Negara maju yang kita impikan itu hendaklah disertai dengan kemajuan orang Melayu. Apalah ertinya kepada bangsa, jika negaranya maju, sedangkan orang Melayu hidup merempat. Kita harus memastikan, bukan sahaja ‘Melayu tidak hilang di dunia’, tetapi Melayu juga tidak ketinggalan. Perubahan minda berteraskan kejayaan – berakarkan kecemerlangan, perlu disemai – perlu dipupuk. Kita telah mula melangkah dari garisan permulaan. Kita hendaklah melangkah dan terus melangkah, biar beribu dan berjuta langkah. Setiap langkah kita bersama, akan memperkuatkan jiwa, memperkukuhkan minda, menanam keyakinan, menyemai keazaman, dalam hati – dalam minda, bahawa kita akan menjadi individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

65. Apabila kita berjaya mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang, walau sekecil manapun bilangan kita, walau dalam sebesar manapun perhimpunan, walau di bumi mana kita berada, walau di bawah langit mana kita bernaung, kehadiran kita akan dirasai dan diberi penghormatan. Kita laksana menara tinggi, teguh kukuh terpacak di bumi – memuncak gagah menyunsung angin. Bahawa kitalah ‘The Towering Malays’ – berdiri gagah – melangkah segak, bijak akal bersalut iman, dilontar ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung.

UMNO

Saudara-Saudari

66. UMNO adalah milik bangsa Melayu, yang telah diwarisi sejak 59 tahun yang lalu. Alhamdulillah, semakin dewasa usianya, UMNO menjadi semakin teguh – semakin kukuh. UMNO telah diterima dan diberikan kepercayaan sebagai pejuang yang telah membuktikan kejayaan meningkatkan syiar Islam, mendaulatkan kemerdekaan negara dan memartabatkan maruah bangsa.

67. UMNO terus relevan dan segar sepanjang zaman – sepanjang masa. UMNO relevan kerana kita selalu memikirkan tentang masa depan dan tentang generasi akan datang. Kita berpandangan jauh dan merancang untuk jangka masa panjang. Kita dirahmati dengan dianugerahkan kuasa menerajui Kerajaan. Kita diberi kepercayaan oleh rakyat semenjak kemerdekaan. Matlamat perpaduan rakyat, konsep perkongsian kuasa, Dasar Ekonomi Baru, Wawasan 2020 – semuanya berkisar untuk membina masa depan yang lebih baik bagi generasi akan datang. Kita meletakkan batu asas bagi pembangunan Malaysia yang lebih aman, maju dan makmur. Kita berusaha dengan gigih untuk mencapai hasrat dan cita-cita.

68. UMNO terus merimbun segar, berbunga sepanjang waktu – berbuah sepanjang musim. UMNO segar kerana taman UMNO ditumbuhi tunas-tunas baru, disiram – dibaja, dijaga baik – dipelihara cermat. Menjadi tanggungjawab angkatan dewasa di dalam UMNO, mendidik dan mengasuh anak-anak muda di dalam parti, agar dapat berperanan dan berkebolehan untuk mewarisi amanah bangsa. Generasi muda UMNO, di dalam Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri – dan kini Putera – perlu dibawa bersama, diberi panduan – diberi bimbingan, diberi nasihat – diberi asuhan. Generasi muda ini semakin terpelajar dan berkemahiran. Sumbangan mereka diperlukan dalam usaha membina bangsa yang maju dan negara yang berjaya.

69. Ahli-ahli UMNO bukan sekadar mewarisi sebuah organisasi, malah mewarisi satu amanah perjuangan – mewarisi satu tanggungjawab terhadap bangsa, terhadap negara, terhadap agama. Tanggungjawab menjadi lebih berat dengan kemenangan besar yang telah diberikan oleh rakyat kepada UMNO dan BARISAN NASIONAL dalam pilihan raya umum pada bulan Mac 2004. Ahli-ahli UMNO adalah pendukung kepada Kerajaan yang telah dipilih melalui proses demokrasi. Kita tidak sekali-kali mempermainkan kuasa pemerintahan dan tidak berniat untuk mengecewakan rakyat. Kata dan janji kita bukan pemanis mulut ataupun sekadar perhiasan parti. Penguatkuasaan undang-undang secara tegas bukan bertujuan menganiayai sesiapa. Kuasa pemerintahan adalah amanah rakyat yang perlu ditunaikan dengan ikhlas – dengan insaf, melalui perancangan dasar, program dan pelaksanaan yang kukuh lagi jitu. Kita perlu menentukan kelangsungan dan kesinambungan perjuangan UMNO supaya matlamat yang kita kejar, tidak keciciran dan hasrat yang kita impikan, tetap tercapai.

70. Kita menghadapi pelbagai cabaran, rintangan dan halangan dalam mendokong perjuangan parti dan meneruskan usaha membangunkan negara. Namun kita cekal dan tabah, melaksanakan amanah bangsa. Ada kalanya usaha kita terhakis dan tergencat, umpamanya ketika dilanda krisis kewangan Asia di tahun 1997. Berpegang kepada sumpah, ‘berpantang mati sebelum ajal’, UMNO tidak cepat menyerah kalah. Kita tidak mengalah kerana cabaran, tidak kalah kerana halangan, tidak tunduk kerana persaingan. Malah UMNO berguru pada pengalaman, berpegang kukuh kepada perjuangan, teguh beriman dengan syariat. Kita yakin pada kuasa dan rahmat ILAHI. Selagi kita ikhlas menjalankan tuntutan ILAHI, beramanah menunaikan harapan rakyat, selagi itu Allah SWT merahmati usaha kita.

71. UMNO kini bukan sahaja dinilai secara dalaman malah turut mendapat perhatian dunia luar. Penilaian dunia luar terhadap UMNO akan mempengaruhi imej mereka terhadap negara kita. Cabaran kepada UMNO menjadi lebih besar apabila UMNO diburuk-burukkan kepada dunia luar melalui tindak tanduk parti-parti pembangkang serta orang-orang perseorangan termasuk dari kalangan yang tidak lagi mendapat tempat di dalam UMNO.

72. Faktor perpaduan ahli, adalah penentu kepada kekuatan UMNO. UMNO terbukti dapat mengharungi pelbagai dugaan selagi ahli-ahli parti kekal bersatu – cekal berpadu. UMNO Insya’Allah tidak mungkin dikalahkan oleh tenaga luar. Tetapi kita perlu waspada dengan perbuatan dari kalangan ahli-ahli UMNO sendiri yang boleh menyebabkan UMNO jatuh.

73. UMNO tidak boleh selesa dan berbangga dengan bilangan ahli yang ramai. UMNO perlu memastikan ahli-ahli parti memiliki integriti yang tinggi. Ahli-ahli UMNO perlu mengawal disiplin diri – memiliki nilai moral yang tinggi – menghindarkan diri dari terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang membolehkan rakyat memandang kita secara sinis. Disiplin dan kawalan moral hendaklah dilakukan secara dalaman; berasa malu untuk terlibat dengan kegiatan-kegiatan maksiat. Organisasi yang kuat dan kekal berkuasa, amat mengutamakan disiplin. Integriti ahli-ahli UMNO akan dapat dipenuhi jika parti mengutamakan amalan disiplin yang tinggi. Integriti ahli-ahli parti akan menentukan budaya yang terdapat di dalam parti.

74. Usaha kerajaan memerangi rasuah tidak akan tercapai jika budaya rasuah terdapat di dalam UMNO. Amalan politik menggunakan wang untuk berkuasa adalah rasuah politik. UMNO tidak mungkin kekal dihormati, jika rasuah politik tidak kita hapuskan. Proses pemilihan dalam UMNO diberikan perhatian kerana UMNO menguasai kerajaan. Pemimpin yang dipilih oleh UMNO akan menjadi pemimpin kerajaan. Jika pemimpin UMNO diragui integritinya, maka usaha kerajaan pimpinan UMNO untuk memerangi rasuah tentulah tidak dapat meyakinkan mana-mana pihak.

75. Proses mendisiplinkan ahli adalah rumit. Banyak rungutan yang dibuat. Banyak cerita yang sampai kepada saya; banyak kisah yang berlegar di telinga rakyat, tentang berlakunya salah laku di kalangan ahli semasa proses pemilihan pemimpin. Ahli UMNO sukar menidakkan tentang berlakunya amalan rasuah politik. Proses siasatan sangatlah rumit kerana pihak yang merungut tidak bersedia tampil kehadapan memberi bukti yang boleh mensabitkan kesalahan. Kaedah dan mekanisme disiplin yang ada perlu terus ditambahbaik. Kita perlu memberikan sokongan kepada setiap langkah dan setiap usaha untuk mendisiplinkan ahli dan membersihkan UMNO dari rasuah.

76. Pemimpin yang korup akan membawa UMNO mengamalkan budaya politik yang korup. UMNO yang korup tidak berupaya menyemai nilai-nilai bersih di kalangan bangsa. Usaha kerajaan memerangi rasuah hendaklah bertunjang dari dalam UMNO. Ahli-ahli UMNO hendaklah berasa jijik terhadap rasuah dan tidak merelakan walau setitik darah yang mengalir di dalam batang tubuhnya atau ahli keluarganya bersumberkan rasuah.

77. Ahli dan pemimpin parti yang terlibat dengan rasuah tidak dapat menipu diri, tentunya tidak lagi dianggap bersih dari kanta penglihatan mereka yang sama-sama terlibat dalam proses memberi dan menerima sogokan, dan sama sekali tidak terlepas dari pengetahuan Allah SWT. Mungkin perbuatan rasuah dapat dilindungi dengan pelbagai dalih di kalangan sesama insan, namun tidak ada siapa yang dapat terlepas dari pembalasan ILAHI. Bahawa jika tuhan mengasihi seseorang hamba, maka hukuman di atas sesuatu kemungkaran itu akan dilakukan di dunia ini, dengan tujuan menginsafkan seseorang insan supaya segera bertaubat. Di sebaliknya, bagi mereka yang diberikan tangguh, pembalasan akan tetap menunggu di Padang Mahsyar.

78. Saya berazam dan nekad membersihkan UMNO dari rasuah politik. Ianya adalah satu usaha yang berat bagai mendaki gunung yang curam. Saya tidak akan kecewa. Saya tidak berputus asa. Selagi hayat di kandung badan, saya akan terus menyeru, memohon kekuatan dari ILAHI, berikhtiar menghapuskan rasuah. Ahli-ahli UMNO hendaklah berpegang kuat kepada prinsip, “bersedia tidak terpilih memegang jawatan” dari terjerumus mengamalkan rasuah. Tidak ada apa yang dapat dibanggakan, jika jawatan diperoleh secara rasuah, kemudiannya mendorong diri menerima rasuah, untuk dijadikan modal menghulurkan rasuah. Malang bagi bangsa, jika kekayaan digunakan untuk mendagangkan kuasa dan jika kuasa pula digunakan untuk menggadaikan bangsa.

79. UMNO perlu mengembalikan budaya politik yang sihat. Budaya politik yang menjadi prinsip pegangan para pengasas UMNO pada masa dahulu. UMNO ditegakkan atas nilai perjuangan bangsa dan atas khidmat kepada bangsa. UMNO tidak sekadar parti politik tetapi hendaklah kita jadikan sebagai satu rumpun besar keluarga Melayu untuk memenuhi satu wadah perjuangan. Bila UMNO dilihat sebagai organisasi politik semata-mata, ahli-ahli UMNO menjadi lebih cenderung untuk bersaing bagi mendapatkan tempat dan kuasa. Teknologi diguna menyebar fitnah. Penulis diupah menyerang individu tertentu. Buruk sangka mengatasi semangat persaudaraan. Berita buruk cepat dimamah – cerita baik sukar diterima.

80. Jika UMNO dapat diperkukuhkan dengan semangat kekeluargaan, maka kita akan dapat membina tali persaudaraan sesama kita. Kita akan mencari dan menerima yang terbaik di kalangan kita untuk memimpin. Kita akan sepakat bersama melaksanakan tugas. Setiap niat – setiap langkah kita, adalah untuk memperkukuhkan UMNO. Untuk itu kita akan menghargai mereka yang terbaik dari kalangan kita. Mereka yang terbaik, diangkat menjadi pemimpin hingga terbina budaya politik yang lebih segar, melangsungkan wadah perjuangan bangsa, diberikan sokongan – diberikan keyakinan. Kita akan dapat menghidupkan budaya politik yang berupaya membina insan merdeka, penuh keimanan, bertakwa dan mengabdikan diri sepenuh-penuhnya kepada Allah SWT.

81. Budaya politik sihat akan menyelamatkan UMNO – akan terus memperkasakan UMNO. Perjuangan memartabatkan bangsa mustahil tercapai sekiranya UMNO tidak bersih, tidak cekap dan tidak amanah. Ahli-ahli UMNO janganlah terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang boleh mencemarkan nama baik UMNO. UMNO perlu diperkasakan dengan organisasi yang utuh dan keahlian yang kukuh. Saidina Ali (k.w.) mengingatkan kita dengan pesanan yang bermaksud kemungkaran dapat ditegakkan oleh organisasi yang kemas, dan sebaliknya, kebenaran boleh diruntuhkan sekiranya organisasi lemah.

82. Oleh itu, organisasi UMNO di setiap peringkat perlu dipertingkatkan sejajar dengan kedudukan UMNO sebagai peneraju politik di dalam negara. Urusetia UMNO – sama ada di peringkat nasional, negeri, pergerakan, bahagian dan cawangan – perlu dibinaupaya dengan kelengkapan moden yang secukupnya, didokong oleh sumber tenaga manusia yang cekap dan berhemah. Urusetia UMNO perlu diperkukuhkan supaya berupaya menjadi pemangkin dan pendokong kepada pelbagai usaha pucuk pimpinan dan pelbagai kegiatan ahli parti.

83. Ahli-ahli UMNO yang mencorak dan mewarnakan perjuangan parti. Ahli-ahli UMNO yang akan menentukan jatuh bangunnya parti, maju mundurnya bangsa dan kuat lemahnya negara. Ahli-ahli UMNO perlu diperkasakan dengan kefahaman dan kesedaran tentang erti perjuangan, tentang peranan dan tanggung jawab ahli kepada parti. Ahli-ahli perlu diperkasakan dengan sifat-sifat berhemah tinggi, beramanah dan berjiwa besar serta dipertingkatkan kebolehan mereka dengan ilmu dan kemahiran. Sesungguhnya, UMNO mahu membina barisan pemimpin di setiap peringkat, yang menjauhkan diri dari perkara-perkara negatif, dari mengadu domba, dari menyebarkan fitnah, atau dari membawa cerita-cerita yang melemahkan pemimpin, parti dan ahli-ahli. Sebaliknya, UMNO mahu membina barisan pemimpin di setiap peringkat, yang kukuh kebolehannya, yang kuat semangatnya, yang cekal hatinya, yang soleh imannya, yang elok muafakatnya dan yang berkesan kerjanya.


PENUTUP

Saudara-Saudari

84. Negara telah menetapkan sasaran mencapai taraf negara maju dalam tahun 2020. Tanggungjawab pengisian wawasan adalah tanggungjawab kita bersama. The ‘towering Malays’ ketika itu perlu berada di barisan utama dalam sebuah negara Malaysia yang telah pun mencapai taraf negara maju. Merekalah Melayu, berani bersaing - berupaya berganding di liga antarabangsa, dalam gelanggang yang lebih luas - dengan peraturan yang lebih bebas.

85. Kita tidak boleh lari dari jihad untuk menentukan pencapaian tersebut. Kita tidak boleh membenarkan diri kita diganggu oleh suara-suara yang masih bercakap tentang isu-isu remeh dan kecil. Kegiatan bercakap, kita biarkan kepada mereka yang selama ini tidak ada kerja lain, melainkan bercakap. UMNO mengutamakan kerja. Masa dan tenaga kita hendaklah kita tumpukan kepada kerja. Kerja yang berat dan tugas yang rumit tidak dapat saya penuhi secara sendirian. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di dalam Majlis Tertinggi terutamanya kepada Timbalan Presiden parti, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang sama-sama mengambil tanggungjawab bekerja bersama saya.

86. Saya menghargai kerjasama serta sokongan yang telah diberikan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, barisan pimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri, pimpinan di peringkat Perhubungan Negeri dan pimpinan di peringkat Bahagian dan Cawangan untuk merealisasikan wawasan dan impian perjuangan UMNO. Saya mengucapkan tahniah atas kreativiti Pergerakan Pemuda mewujudkan Putera UMNO dengan tujuan untuk meningkatkan penyertaan secara aktif golongan remaja di dalam parti.

87. Semoga kita senantiasa mendapat petunjuk dan hidayat ILAHI dalam memenuhi perjuangan yang kita warisi ini. Semoga parti kita, bangsa kita, warga kita, negara kita dan agama kita terus terpelihara. Semoga kita dapat memenuhi cita-cita perjuangan kita. Marilah kita menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Faatir, ayat 10:

Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatNya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapatkan kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.


88. Marilah kita memohon petunjuk dan keredaan ILAHI dengan membaca umul-kitab:

AL-FATIHAH

BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT!

HIDUP UMNO!
HIDUP MELAYU!

Ke mana Anwar Ibrahim ?

Persoalannya adalah "ke mana Anwar Ibrahim", kata seorang penyokong gerakan reformasi yang tercetus ada tahun 1998. Ini bukan suatu yang asing lagi dalam perbualan antara mereka. Mereka nampak hilang arah dan mereka merasakan se olah - olah apa yang di bentuk selama ini - khususnya perjuangan yang mereka laksanakan telah terdampar jauh - hilang panduan dan arah.

Anwar dalam kenyataan beliau pada 13hb March 2005, di Century Club Paradise ( Taman Melawati) berkata 'adalah menjadi tanggung jawab beliau untuk meredakan kemarahan yang tercetus sepanjang 1998 sehingga 2004'. Malam itu berbagai reaksi timbul mengenai apa yang di sampaikan oleh Anwar Ibrahim. "Kemarahan", kata salah seorang reformis yang pernah di tahan beberapa kali sepanjang terbitnya gerakan reformasi. "Kita berjuang memperbetulkan keadaan dan bukan kemarahan tidak bertempat" ujar beliau. "Kita menyuarakan apa yang benar - kalau nak marah pun bukan kita tetapi kerajaan yang marah kepada kita" kata beliau yang tidak mahu namanya di sebut.

Ke mana Anwar Ibrahim sekarang? Apakah setelah Anwar Ibrahim di bebaskan dan dengan pendekatan politik berlainan beliau tidak melahirkan rasa kesal mereka dengan apa yang mereka lakukan sepanjang Anwar Ibrahim dalam penjara - dengan pengorbanan mereka yang merangkumi harta benda, keluarga dan masa depan mereka?

Apakah mereka tidak merasa rugi membazirkan 6 - 7 tahun kehidupan mereka dengan perjuangan reformasi - demonstrasi serta tuntutan lantang yang akhirnya di kenal pasti bukan cara untuk memperbetulkan keadaan?

Moderator ruangan ini adalah Ghazali Mat Dom, antara orang yang agak arif dalam meneliti perjuangan reformasi. Ghazali juga dalam kenyataan beliau pernah menyebut bahawa arus perubahan dalam pergerakan Anwar Ibrahim sewaktu sebelum beliau di tahan - semasa beliau di tahan dan selepas beliau di bebaskan adalah berbeza. Bagi beliau pembawaan Anwar Ibrahim - yang kini menolak demonstrasi adalah suatu kesedaran dan kesedaran ini harus juga di tanamkan oleh beliau kepada semua pejuang reformasi. Beliau seharusnya kini berterus terang dengan mengatakan bahawa ini adalah perjuangan politik tidak kurang dan tidak lebih dari itu. Ghazali antaralah mereka yang pernah menerima beberapa pucuk surat dari Anwar Ibrahim sewaktu Bekas Perdana Menteri itu di penjara bagi kami di www.umno-reform.com mampu menilai pandangan - pandangan yang berbeza mengenai arah tuju Anwar dan Parti Keadilan Rakyat.

Ke mana sebenarnya Anwar Ibrahim?

Selamat Jalan Khir Toyo

Ada yang mengatakan bahawa Khir adalah pencabar dalam cita - cita politik, lalu harus di hapuskan.
Ada yang mengatakan bahawa Khir telah banyak melakukan angkara rasuah khususnya tuduhan dan laporan polis Ahmad Lutfi.
Ada yang mengatakan bahawa Khir sungguhpun belum ada tuduhan rasmi rasuah namun moralnya tercemar dengan tindakan - tindakan penganugerahan tanah kepada mereka yang mencurigakan.
Ada yang mengatakan bahawa Utusan Malaysia sedang kuat membuat formulasi untuk menyingkirkan Khir Toyo.
Apa pendapat anda? Beri komen ada.

Melayu - Di mana silapnya

Agenda Melayu, siapa yang patut di salahkan?
Ghazali Mat Dom

Email dari saudara Suhaimi Ghafar mendesak kita sebagai orang Melayu bangkit menentukan bangsa kita sendiri. Email itu juga mengkritik kepimpinan UMNO yang menjadi jagoan pidato bila tiba masa perhimpunan Agung namun setelah itu senyap tanpa bicara.

Tun Dr Mahathir pada akhir pemerintahannya mengatakan beliau gagal dalam memartabatkan Melayu. Beliau mengakui bahawa beliau gagal dan kegagalan ini diambilnya bersendirian tanpa merujuk sebab dan musabab kenapa beliau gagal dalam mentadbir Melayu untuk terus menjadi bangsa yang seangkatan - duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa - bangsa lain.

Tidak ada satu pun Badan - Badan Pemikir khususnya dalam UMNO yang duduk meneliti pengakuan kegagalan Dr Mahathir dalam isu dan persoalan Melayu. Isu itu seolah - olah tidak relevan dan sinopsis yang diambil adalah mudah - Melayu itu bangsa haprak.

Apabila Tun Dr Mahathir memaklumkan secara terbuka bahawa beliau gagal, UMNO hanya menerima. UMNO tidak fikir bahawa panjangan kata - kata Mahathir adalah beliau dan UMNO gagal untuk membawa perubahan kepada bangsa Melayu. UMNO menerima tanpa sebarang pengukuran kenapa ini boleh berlaku. Menyalahkan Melayu itu sendiri adalah justifikasi mudah, tetapi menginsafi diri sebagai kepimpinan yang gagal melakukan perubahan adalah lebih bererti.

Apakah kesalahan ini di tanggungkan kerana nama bangsa itu sendiri - Melayu? Apakah Melayu itu se haprak yang dikatakan oleh Dr Mahathir dan tidak ada sesiapa yang akan dapat mengubah nasib orang - orang Melayu? Apakah bangsa - bangsa lain lahirnya sudah pandai, lahir sudah bijak berniaga dan lahirnya sudah mempunyai nilai kemajuan tanpa suntikan?

Apakah pula keadaan Melayu sekarang ini adalah kerana kepimpinan UMNO itu sendiri? Apakah kerana Sultan dan Raja - Raja yang memerintah Melayu itu sendiri? Di mana salahnya Melayu?

Saya, Ghazali Mat Dom dengan itu meminta pelayar yang serius mahu membicarakan mengenai Melayu dan tampil berinteraksi dalam persoalan - Melayu di mana silapnya. Kita bincangkan bersama, secara terbuka dan secara hakiki.

KLIK LAMAN PERBINCANGAN - MELAYU DI MANA SILAPNYA?

Reformasi yang tersisih - Bermaknakah perjuangan?

Reformasi yang tersisih - Bermaknakah perjuangan?
dryacid72@yahoo.com

Pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim telah mencetuskan satu gelombang kebangkitan rakyat untuk kali kedua.Pembebasan DSAI boleh kita katakan sebagai satu sinar baru dalam perjuangan dan politik tanahair.Keadilan kini dianggap sebagai satu parti yang mampu menggugat Barisan Nasional.Dalam erti kata lain Parti Keadilan Rakyat bakal muncul sebagai satu parti yang berkemampuan untuk memerintah.Saya pada hakikatnya meletakkan harapan yang cukup tinggi satu masa dahulu di awal perjuangan kepada parti keadilan ini atas dasar sebuah parti yang bernafas baru, berorientasikan perjuangan menegakkan keadilan, menentang kezaliman dan sebuah parti berbilang kaum yang pada pendapat saya mampu untuk merubah senario politik negara .

Pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim turut menjulang nama dua orang kanan beliau iaitu Sdr Ezam Mohd Noor Dan Azmin Ali kedua-dua bekas setiausaha politik dan setiausaha sulit DSAI ini di angkat sebagai panglima kepada pembebasan DSAI. Kalau kita lihat kembali dari hari pertama pembebasan DSAI mereka berdua ini lah yang yang sentiasa berada dikiri dan kanan DSAI.

Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini adalah kita juga tidak harus melupakan rakan-rakan perjuangan yang lain , sekadar menyebut beberapa nama antaranya ialah Hamdan Taha ,Ruslan Kasim ,Lokman Nor Adam, Hanafiah Man, Zahid Mat Arif , YB Saifuddin Nasution, Saiful Izham Ramli , Adlan Benan dan berapa yang lain ,walaupun ada antara mereka yang telah meninggalkan keadilan dan ada yang masih bersama keadilan tetapi perjuangan dan pengorbanan mereka tidak dapat kita ketepikan.

Mungkin ramai yang akan bertanya mengapa nama-nama diatas saya tonjolkan semula ,jawapannya mudah mereka-mereka yang saya sebutkan diatas adalah bekas orang kanan Ketua pemuda Parti Keadilan dan kini mereka sama ada telah meninggalkan parti atau pun lebih suka low profile dalam parti keadilan.Pasti wujudnya sesuatu yang menjadikan mereka mengambil jalan yang sedemikian.

Apa yang saya harapkan dalam penulisan ini bukannya satu kebencian atau di tuduh cuba menjatuhkan atau di katakan agen kepada mana-mana individu yang tertera disini tetapi saya mengharapkan apa yang akan saya paparkan di sini di jadikan landasan untuk satu kebangkitan yang berteraskan perubahan sikap yang saya rasa perlu di lakukan oleh beberapa individu dalam parti keadilan .

Perkara pertama yang ingin saya paparkan adalah tentang sikap SDR Ezam Mohd Noor dalam konteks memimpin pemuda keadilan , Hampir kesemua nama yang saya sebutkan tadi pernah menjadi setiausaha dan orang kanan Ezam dan hampir kesemuanya meninggalkan keadilan atau bersikap low profile dalam parti dengan mengaitkan nama sdr Ezam atau Azmin Ali dan ada antara mereka yang di pecat kerana mengkritik Sdr Ezam dan Azmin.Persoalan saya mengapa ini berlaku.Saya ingin mengambil contoh apa yang di kritik oleh Sdr Lokman Noor Adam yang berkaitan tentang penyalahgunaan dana sumbangan kepada parti dan juga isu sikap Sdr Ezam dan Azmin yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dari perjuangan .Saya bersetuju sekiranya benar Lokman Noor Adam di pecat dari Parti kerana menghasut ahli parti untuk menyertai UMNO tetapi bagaimana dengan tuduhan tuduhan yang di lemparkan keatas Ezam Dan Azmin berkaitan dengan penyelewengan dana parti ini kerana mereka tidak pernah tampil untuk menjelaskan tuduhan tuduhan tersebut keperingkat akar umbi ahli dan mereka lebih berminat untuk menamatkan riwayat politik Lokman dari Parti Keadilan dengan seberapa segera.Mungkin Ahli MPT keadilan boleh menjelaskan berkaitan amaran Sdr Ezam Dan Azmin kepada mesyuarat MPT tentang apa yang akan berlaku sekiranya lokman tidak di pecat.



surat original "perletakan jawatan Ezam Mohd Nor' sewaktu krisis dengan Saifuddin Nasution
(gambar eksklusif dari www.umno-reform.com)
Krisis YB Saifudin Nasution dan Ezam Mohd Noor juga ingin saya paparkan di sini yang boleh saya katakan antara faktor utama Yb Saifudin enggan memegang sebarang jawatan dalam parti.Sebenarnya krisis ini berlaku semasa YB Saifudin menjadi Timbalan Ketua Pemuda Keadilan lagi.Semua exco pemuda pada masa itu sudah sedia maklum yang pada ketika itu Sdr Ezam masih berada di dalam penjara dan semasa Sdr Yb Saifudin memangku jawatan Ketua Pemuda krisis ini di lihat semakin kronik sehingga terdapat khabar-khabar angin yang menyatakan Sdr Ezam telah meletak jawatan selaku Ketua Pemuda tetapi kemudian menafikan perletakkan jawatan beliau dalam parti ..mungkin hanya exco-exco pemuda Keadilan ketika itu yang mengetahui kebenaranya.Tidak lama kemudian Yb Saifudin akhirnya meletak jawatan selaku Timbalan Ketua Pemuda dan turut di ikuti oleh beberapa orang exco pemuda parti yang ramai jumlahnya.Antara faktor utama yang di katakan sebagai faktor penting kepada krisis dalaman pemuda adalah Penubuhan Angkatan Muda Keadilan yang mana majoriti exco pimpinan pemuda pada ketika itu tidak bersetuju untuk menerima kemasukan ahli wanita berusia di bawah 40 tahun kedalam pemuda dan mengakui penerimaan Angkatan Muda,krisis ini di lihat cukup besar apabila beberapa pemuda negeri memainkan peranan dalam menentang dan menerima Angkatan Muda ini.Negeri Selangor telah menghantar persetujuan sebulat suara yang di ketuai oleh sdr SD Johari selaku Ketua Pemuda negeri dan ketua pemuda bahagian Sdr Ezam, yang mana di lihat mewakili suara sdr Ezam, tidak beberapa lama kemudian Pemuda Negeri Perak yang merupakan negeri yang mempunyai bahagian paling banyak dalam keadilan telah menyatakan penolakan sebulat suara penubuhan Angkatan Muda Keadilan yang di lihat mewakili suara YB saifudin, apa yang menghairankan saya mesyuarat exco pemuda pusat telah membuat keputusan menolak kemasukan wanita dalam pemuda akan tetapi sdr Ezam telah menggunakan kuasanya untuk membawa perkara itu ke mesyuarat MPT dan telah diluluskan tanpa mengambil kira keputusan mesyuarat exco pemuda pusat.Kini dapat kita lihat sacara rasmi tertubuhnya Angkatan Muda Keadilan di Kongres Keadilan yang lalu. Saya ingin mengajak semua ahli melihat secara terbuka tentang penubuhan Angkatan Muda Keadilan ini kerana banyak bahagian yang sebenarnya tidak dapat mengumpulkan ahli wanita muda dalam keadilan untuk di selaraskan mengikut perlembagaan Angkatan Muda dan kebanyakkannya lebih kepada nama on paper .Persoalan saya adakah mesyuarat tersebut sah dan ini semua di lakukan untuk menutup kelemahan demi menjayakan hasrat untuk merealisasikan penubuhan Angkatan Muda atau dengan kata lain lebih sesuai saya katakan ia lebih kepada konsep menghalalkan cara .Saya tidak menentang penubuhan Angkatan Muda tetapi beranggapan masa untuk menubuhkan Angkatan Muda ini tidak sesuai memandangkan satu perancangan yang lebih teliti dan komprehensif perlu di lakukan terlebih dahulu sebelum penubuhan Angkatan Muda ini.Kebaikan penubuhan angkatan muda ini tetap ada terutama dalam konteks untuk bersaing dengan puteri umno dan membuka peluang kepada golongan wanita muda untuk lebih aktif dalam politik keadilan akan tetapi perancangan yang di lakukan tidak tersusun dan ini telah mengakibatkan nama-nama on paper wujud sekadar untuk menutup kelemahan, akan tetapi sekiranya wujud satu penentangan yang menjurus kepada tindakkan undang-undang saya pasti cukup banyak angkatan muda di peringkat bahagian akan di batalkan dan angkatan muda itu sendiri boleh di anggap tidak sah.cuba kita renungkan perkara ini secara terbuka.Dan demi untuk menunjukkan kehebatan angkatan muda terutama golongan wanita ini beberapa jawatan penting terpaksa di serahkan kepada mereka termasuk jawatan ketua Angkatan Muda Negeri.Sedangkan ada lebih banyak calon di kalangan lelaki yang lebih sesuai untuk memikul jawatan ini bukan saya mendiskriminasikan kaum wanita dalam Angkatan Muda tetapi apabila saya melihat secara keseluruhan kepimpinan Angkatan Muda ini ada tempangnya.



Penyeberangan kumpulan 12 ke dalam UMNO turut ingin saya paparkan di sini kerana penyeberangan mereka-mereka ini yang di ketuai oleh Hamdan Taha dan Ruslan Kasim cukup memberi impak kepada Parti Keadilan menjelang pilihanraya yang lalu.Nama Ezam di sebut secara meluas yang kononnya beliau lah yang sebenarnya mengetuai kumpulan 12 ini .Dan maklumat ini jelas di tunjukkan melalui gambar dan kenyataan dari ahli-ahli kumpulan 12 ini sendiri yang mengesahkan Ezam adalah ketua perunding utama untuk menyertai umno sebelum membuat keputusan menarik diri, akan tetapi mereka-mereka yang lain yang bersama dalam perundingan tersebut tetap meneruskan hasrat mereka untuk menyertai umno.Dalam keadaan genting , di saat Ezam sedang berada dalam keadaan tertekan memandangkan mereka-mereka yang bakal menyeberang ke dalam umno bukan setakat pemimpin dan bekas pemimpin kanan parti akan tetapi mereka-mereka ini juga merupakan sahabat rapat Ezam dan juga merupakan think tank kepada Sdr Ezam, tiba-tiba maruah sdr Ezam dan parti di selamatkan dengan akuan bersumpah Ketua pemuda Keadilan Perak berkaitan dengan politik wang yang di kaitkan dengan penyeberangan kumpulan 12 ke dalam umno, Maka terselamatlah beliau dari masalah tersebut.persoalan saya Sdr Ezam perlu jelas dalam menyatakan kebenaran, saya masih ingat kata-kata bekas setiausaha pemuda keadilan yang juga merupakan seorang peguam bahawa Ezam adalah orang yang paling tidak boleh di percayai dalam parti.Saya mahu panglima Keadilan ini menjelaskan secara menyeluruh kepada pimpinan dan ahli parti berkaitan dengan tuduhan-tuduhan yang di lemparkan keatas saudara.Penyeberangan kumpulan 12 ini kedalam umno saya lihat sebagai satu kehilangan besar dalam parti dan juga Sdr Ezam kerana Ezam telah kehilangan pemikir-pemikir politik dalam pemuda dan kini yang tinggal hanya mereka-mereka yang saya anggap lebih kepada pejuang dan bukan pemikir.

Saya ingin membangkitkan persoalan tentang kebajikan dan ingin perkara ini lebih di titik beratkan oleh Sdr Ezam kepada pejuang pejuang muda dalam keadilan kerana saya melihat faktor kewangan menjadi faktor utama penyeberangan ramai pemimpin muda keadilan ke dalam UMNO Dan kita harus melihat ia sebagai satu perkara penting memandangkan hakikat yang sebenarnya pimpinan pemuda keadilan mampu membantu akan tetapi enggan berbuat demikian.Lihat dalam kes lokman Adam bekas tahanan ISA Dan saya anggap sebagai pejuang paling berani dalam pemuda keadilan di mana saya melihat ia sebenarnya lebih kepada krisis kewangan akan tetapi apabila keadaan cukup mendesak beliau akhirnya gugur .Dan seorang lagi mangsa yang tunduk kepada tekanan kewangan ialah bekas ketua pemuda keadilan perak zul hilmi yahya orang yang bertanggungjawab menyelamatkan maruah Ezam dalam kes kumpulan 12 dan bekas panglima perang Semasa Gerakan Anwar Bebas di Pasir Salak turut gugur dalam perjuangan dalam keadaan yang cukup mengaibkan.

Saudara Ezam dan pimpinan parti harus sedar bahawa betapa pentingnya soal kebajikan pemuda ini di titik beratkan kerana faktor kemampuan mereka untuk membantu mereka yang memerlukan.Saya ambil contoh beberapa tokoh pemuda seperti Badrul Hisham Shahrin yang mana telah tersingkir dari jawatan tetap beliau sebagai seorang guru kerana tuntutan perjuangan dan tetap komited dalam perjuangan tetapi di beri kemudahan yang sepatutnya di bantu memandangkan beliau seorang pejuang tulen .Begitu juga dengan rakan-rakan pemuda yang lain seperti Sd johari yang merupakan seorang ahli perniagaan muda satu ketika dulu kini kehilangan segala-galanya demi tuntutan perjuangan satu contoh lagi Sdr Zulhilmi yahya bekas ketua pemuda keadilan perak yang telah dua kali di singkir dari universiti dan juga telah kehilangan segala-galanya juga demi tuntutan perjuangan Ramai lagi nama-nama besar dalam keadilan yang turut menerima padah yang cukup besar demi menyahut seruan DSAI "KALAU TAKUT DENGAN RISIKO USAH BICARA SOAL PERJUANGAN" .

Ramai juga di kalangan calon-calon dalam keadilan yang bertanding dalam pilihanraya yang lalu gagal di bantu terutama dari aspek penyediaan kemudahan poster dan barangan keperluan pilihanraya yang lain walaupun di khabarkan wujudnya dana berjumlah RM 3 JUTA untuk membantu calon, persoalan saya adakah kerana dana ini tidak mencukupi atau wujudnya penyelewengan dana ini .Kalau ingin di bicarakan soal wang ghaib ini telalu banyak sebenarnya yang boleh di perkatakan semenjak di awal penubuhan keadilan sehingga kini.Dan apa yang menariknya hampir 90 peratus isu wang ghaib ini banyak mengaitkan nama-nama regular seperti Azmin Ali ,Ezam Mohd Noor dan Khalid Jaafar kenapa ini berlaku ? entah lah persoalan ini hanya boleh di jawab oleh pimpinan Parti sendiri.

Saya ingin sekali bertanya tentang wang dana pembelian ibu pejabat Parti Keadilan di Shah Alam kerana banyak pihak menyatakan Sdr Abdul rahman Osman adalah penyumbang terbesar pembelian pejabat tersebut sedangkan ada pula pihak yang menyatakan sebaliknya isu ini perlu juga di perjelaskan kepada umum .Perkara ini menjadi satu isu yang meluas dalam parti terutama dalam kongres dan pemilihan yang terdahulu ianya di jadikan senjata kedua-dua pihak yang bertanding ,isu ini sebenarnya boleh di selesaikan secara mudah oleh presiden parti yang semestinya tahu akan kebenaran yang sebenar cukup sekadar menyatakan terima kasih kepada penyumbang yang sebenar atau semua penyumbang-penyumbang yang terbabit di umumkan secara terbuka .

Perbezaan pendapat sesama pemimpin dalam parti keadilan saya lihat turut banyak menyumbang kepada perpecahan dalam parti sedangkan saya merasakan yang ianya cuma permasalahan perbedaan pendapat sesama mereka yang seharusnya bijak untuk menyelesaikan perkara ini secara rasional dan tersusun memandangkan mereka-mereka ini terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman.Cuba kita lihat krisis pertama yang saya rasa memberikan impak yang besar kepada Parti Keadilan iaitu krisis penggabungan antara parti keadilan dan parti rakyat yang telah menyebabkan keadilan kehilangan ramai tokoh-tokoh seperti Dr Mohd Noor Manuty Anuar Tahir dan beberapa pimpinan Yang lebih elok saya katakan tokoh-tokoh dari ABIM .Krisis ini sebenarnya cukup mudah untuk di selesaikan kalau sekiranya kita melihat tuntutan perjuangan lebih penting dari tuntutan lain,akan tetapi pemikiran sebilangan pemimpin parti yang lebih suka menunjuk kuasa dan kehebatan masing-masing akhirnya berlakulah perpecahan.Dalam keadaan usia keadilan yang masih setahun jagung pada ketika itu mengapa tidak pembahagian kerusi kepimpinan di lakukan secara musyawarah ,bukan untuk menolak demokrasi dalam parti akan tetapi keadaan parti yang masih belum stabil ketika itu memerlukan semua pemimpin lebih bersikap profesional dan bertolak ansur bukanya beradu menunjuk kekuatan.Kalau ingin menyatakan siapa sebenarnya yang bersalah dalam perpecahan itu saya tegas menyatakan yang semua kepimpinan ketika itu yang bertanggungjawab keatas perpecahan yang berlaku baik yang menyokong pengggabungan dan yang menentang penggabungan.

Isu kabilah merupakan isu besar ketika itu yang boleh kita kategorikan dalam kumpulan seperti ABIM , JIM , REFORMIS ,BEKAS AHLI UMNO DAN NGO yang mana merupakan tonggak kekuatan parti pada ketika itu.Krisis berpuak itu masih wujud sehingga kini dan wujud juga sikap berpuak-puak ini dalam kumpulan perhubungan masyarakat cina dan india dalam parti kalau dalam konteks perpecahan yang berlaku dalam perhubungan masyarakat india dalam parti saya lebih melihat kepada aspek perebutan kuasa dan ego yang berlaku kepada sesetengah pemimpin masyarakat india ini.Saya turut melihat yang faktor agama turut menyumbang kepada sikap tidak bertolak ansur sesama mereka, saya ambil sebagai contoh untuk memudahkan klasifikasi puak tersebut adalah antara india beragama hindu dan india beragama kristian mengapa sebenarnya isu ini harus berlaku sedangkan objektif penubuhan keadilan adalah untuk membawa satu politik baru dan politik berbilang bangsa yang tentunya melibatkan berbilang agama untuk menuju kearah masyarakat majmuk di malaysia dan dengan apa yang berlaku rumusanya adalah sama iaitu kepentingan lain lebih di utamakan dari tuntutan perjuangan perkara ini seharusnya di bincangkan bersama secara muafakat di antara Dr xavier dan N Gobalakrisnan

Perhubungan masyarakat cina dalam keadilan sebenarnya turut mengalami krisis sesama mereka iaitu antara yang cenderung kepada politik asas dan antara mereka yang cenderung kepada politik perjuangan total seperti demonstrasi jalanan dan perhimpunan.Akan tetapi krisis dalam perhubungan masyarakat cina ini hampir tidak di ketahui oleh sesiapa kerana mereka lebih kepada penyelesaian secara profesional saya kagum dengan mereka - mereka ini dan kita seharusnya belajar tentang kaedah penyelesaian masalah yang di amalkan oleh mereka tahniah kepada Dr Lee Boon Chye dan Sdr Tian Chua?

Pengurusan parti keadilan juga saya anggap setakat ini masih gagal menunjukan kemampuan untuk menjadi tulang belakang perjuangan alternatif di malaysia kerana atas beberapa isu seperti pengurusan keahlian dan penyaluran maklumat kepada ahli parti .Masih wujud kepincangan dalam aspek pengurusan dan pentadbiran parti yang perlu di perbaiki.Saya ingin menyatakan bahawa banyak bahagian yang pada hakikatnya bermesyuarat agong tahunan dalam keadaan tidak mempunyai korum yang mencukupi dan mesyuarat tetap di teruskan sedangkan mesyuarat itu pada hakikatnya tidak sah dan sikap tidak profesional di kalangan pimpinan bahagian ini cukup menyedihkan malahan ada bahagian yang cuma menyediakan laporan mesyuarat sedangkan mesyuarat tidak pun berjalan, perkara ini perlu mendapat perhatian serius dari Setiausaha Agong Parti.

Harapan saya dalam perjuangan ini adalah untuk melihat kembali era kegemilangan parti seperti di awal penubuhanya terlalu teringin rasanya untuk melihat Sdr Ezam dan Yb Saifuddin Nasution berganding bahu bersama sama dalam perjuangan, teringin juga untuk melihat kembali tokoh tokoh seperti Anuar Tahir, Dr Mohd Noor Manuty ,Shaari Sungip ,Abdul Rahman Osman, Johari Abdul Ust Mahyuddin dan ramai lagi aktif dan terus komited dengan perjuangan keadilan.

Akhir sekali ingin saya mohon maaf kiranya apa yang saya nyatakan diatas menyentuh perasaan mana-mana pihak tetapi bagi saya semua tuduhan perlu di jawab agar ia tidak lagi menjadi duri dalam daging yang akan merosakkan perjuangan dalam parti .
Harapan saya cukup jelas iaitu tuntutan reformasi sikap di kalangan pimpinan Parti perlu di segerakan demi sebuah perjuangan hakiki.Saya mohon agar apa yang saya nyatakan di fahami secara terbuka dan di anggap sebagai satu kritikan dan pendapat yang sekurang-kurangnya boleh memperbaiki kelemahan dalaman parti.


dryacid72@yahoo.com

Tercabarkah Islam, : Asimilasi agama, natijah di sebaliknya

Ghazali Mat Dom

Bagi memastikan ianya menuruti apa yang di sarankan oleh Perdana Menteri Malaysia maka " Inter - Faith Commission" harus di wujudkan kata Malik Imtiaz Sarwar, seorang peguam merupakan Jawatan Penggerak Badan tersebut dalam Majlis Peguam Malaysia.

Tujuan asas yang dimaklumkan adalah bagi menyeragamkan pendekatan keagamaan dan bertindak khususnya kepada perkara - perkara yang melibatkan hak asasi kemanusiaan dan sistem perundangan yang bertindih antara agama. Secara mudah ianya seumpama Badan Perhubungan Agama yang akan membincangkan isu -isu keagamaan bagi menyelaraskan kefahaman dan pendekatan keagamaan yang berbeza dalam Malaysia.

Di beritakan bahawa Suruhanjaya Perhubungan Keagamaan ini akan di bawa untuk penubuhan formal ke parlimen bagi mendapatkan status yang sama dengan SUHAKAM atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Sebenar ini bukan kali pertama www.umno-reform.com memaklumkan tentang kehadiran badan - badan bukan kerajaan Malaysia yang bertindak atas paksi menyeragamkan kedudukan intipati agama - agama dunia untuk di jadikan satu bentuk pegangan kolektif yang meluhurkan nilai - nilai murni kehidupan tetapi mempunyai motif lain di sebaliknya.

www.umno-reform.com dalam membicarakan isu sebelum ini MENDAKWA bahawa asas asimilasi semua agama yang di cantumkan adalah bagi mengurang mampatkan pola pegangan Islam dan mengenengahkan asas prinsip agama baru dengan nilai kemuliaan semua agama untuk dijadikan pegangan agama global. Hakikatnya atur cara agama dunia baru yang mula menjadi agenda pokok badan - badan dunia khususnya mereka yang asasnya beragama Kristian yang kini bertapak di Malaysia bagi kami amat mencurigakan.

Bagi kami kalau nilai - nilai dan pegangan norma kehidupan yang berasaskan keadilan atau meneliti kata pegangan nilai seperti - jangan lakukan apa yang anda tidak mahu orang lain lakukan kepada anda (slogan pegangan oleh kumpulan yang mahu mewujudkan Badan Penyelaras agama ini) maka pembabitan entiti agama itu sendiri tidak perlu. Kalau nilai murni agama itu mahu di cakup dan dijadikan asas pegangan kenapa perlu kita membabitkan penukaran asas agama kita itu sendiri ?

"Global Religion" tidak perlu wujud dalam erti kata mahu membuat dasar asas agama baru yang akan sebenarnya membahaskan agama Islam itu sendiri khususnya di Malaysia.

"Council for the Parliment of world religion" telah mengemukakan garis -garis asas pegangan yang melibatkan nilai - nilai murni yang setiap agama telah melakukan simposium mereka tahun sudah di Malaysia di bawah Badan Kristian Demokrat Germany - yang mengelar pertubuhan mereka sebagai Konrad Adenauer Stiftung. Konrad Adenauer Stiftung ini telah menyerap masuk ke dalam negara ini dengan tujuan bagi mempromosi asas keperluan demokrasi dan kebebasan media. Tujuan asal ini tidak akan menjadi bahan kritikan kami malah kalau hanya agenda ini yang ada maka www.umno-reform.com pasti akan menyokong. Namun perubahan mereka dalam mempromosi agenda agama dunia dengan kekuatan asas pegangan mereka pada agama Kristian - amat mencurigakan kami. Agenda Agama Dunia ini telah di bukukan khas oleh Interfaith Malaysia Network - satu badan bukan kerajaan Malaysia dengan kerjasama Institut Kajian Dasar dan semua perbelanjaan kos ini telah di biaya oleh Konrad Adenauer Stiftung.

Bagi kami ianya hanya bertujuan untuk menyarankan agar Islam khususnya untuk melepaskan mana - mana kandungan keagamaan dalam Islam yang di katakan oleh mereka sebagai terlampau ekstrem mengikuti definisi mereka sendiri. Ini bagi kami adalah strategi asimilasi bagi mencairkan kemampatan pegangan agama bagi membolehkan daayah - daayah baru meresap dan mengaburi erti Islam malah mencemar konsep Islam Hadhari yang menjadi agenda Malaysia ketika ini.

www.umno-reform.com pada asasnya menolak Suruhanjaya Penyelarasan Agama di bentuk yang dikatakan separa dengan Suruhan Jaya Hak Asasi Manusia.

www.umno-reform.com juga menyarankan agar usaha Global Religion yang menarik dari segi intipati tetapi mencurigakan dari segi penekanan serta perlaksanaan di teliti dan semua penerbitan mengenai erti agama sejagat ini di pantau oleh kerajaan Malaysia.

www.umno-reform.com juga menyarankan agar siasatan di buat ke atas 2 media utama Malaysia yakni Sin Chew Jit Poh dan The Star yang di katakan sebagai "partner" oleh Konrad Adenauer Stiftung ( rujukan http://www.kas-asia.org/Partners.htm
Konrad adenauer Stiftung)

www.umno-reform.com mencadangkan bahawa kehadiran Konrad Adenauer Stiftung di Malaysia beralamat :

Peter Schier
Suite 18.1
Level 18 , Menara Genesis
33, Jalan Sultan Ismail
50250 Kuala Lumpur
MALAYSIA
Tel.: 60 3 2713 73 21
Fax: 60 3 2713 73 20
E-mail: kaskul@pd.jaring.my

di pantau serta aktiviti dan strategi asimilasi agama Islam yang di buat mereka di teliti.

www.umno-reform.com menegaskan bahawa tidak ada dalam agenda kami menolak sebarang kebaikan - kebebasan beragama dan kebebasan media tetapi strategi asimilasi yang bertujuan untuk mencabar agama Islam amat kami tentang.

www.umno-reform.com turut meragui www.malaysiakini.com yang kini dikatakan sedang melobi Konred Adenauer Stiftung atas alasan "free press" tetapi terpaksa mempromosikan isu agenda agama dunia ini.

Kami turut menolak bahawa Konsep Islam Hadhari dan kehendak Pak Lah adalah sebab penubuhan Suruhanjaya Penyelarasan Agama ini dicadangkan dan mahu dilaksanakan. Sekiranya mereka jujur maka tidak ada sebab untuk kita menolak tetapi kecurigaan pengasas dan dana penggerak untuk mereka menyebabkan kami dalam www.umno-reform.com MENOLAK sepenuhnya agenda yang kami rasakan jahat dan bertujuan untuk memecahkan saf - saf mereka yang beragama Islam itu sendiri.

Pihak www.umno-reform.com dengan itu menggesa bahawa pertubuhan NGO rakan www.umno-reform.com bertindak untuk memulakan diskusi dan penilaian bagi membincangkan isu asimilasi agama Islam dan khususnya cabaran yang di buat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Datuk Norza - hanya seorang ahli politik yang menyokong 150% Khairy Jamaluddin.

Apa kata kita cuba berdiskusi mengenai artikel berikut


Anak muda ortodoks Khairy Jamaluddin dikatakan adalah bintang besar yang akan menyerlah dalam arena politik negara ini. Dengan keseringan namanya di media - media perdana anak muda ini se olah - olah telah mendapat tempat yang istimewa dalam media internet khususnya www.agendadaily.com.

Bukan terdapat isu - isu istimewa yang di bawa oleh beliau tetapi paparan yang sering dalam media itu cukup untuk kita yang rajin mengunjungi laman web tertanya - kenapa terdapat keistimewaan untuk beliau dalam laman tersebut?

Bermula dengan temu bual beliau dengan media tersebut - menjangkau pujian yang teramat sangat kepada Khairy Jamaluddin sehinggalah kepada gambar pembersihan longkang, Datuk Norza - selaku Pemuda Wilayah Persekutuan kini membuat langkah besar dalam kerjaya politik. Langkah yang dimaksudkan adalah untuk menonjol sebagai seorang pemuda yang 150% menyokong Khairy Jamaluddin. Menonjol dengan imej - ortodoks Khairy, sama ada sengaja atau tidak.

Langkah politik ini nampaknya amat berkesan. Penonjolan sebagai orang yang akan membela Khairy Jamalauddin pasti akan membawa loncatan dalam kerjaya politik beliau, kerana itu adalah cara dalam UMNO. Itu adalah budaya dan itu adalah norma yang sentiasa membawa kejayaan.

Namun sebenarnya mungkin bukan kehendak Dato Norza. Mungkin ini adalah kelemahan orang - orang kanan beliau khususnya mereka yang merencana perjalanan politik Dato Norza atau kemungkinan www.agendadaily.com menaruh harapan agar keseringan membawa nama Dato Norza akan membawa padah dan diharapkan www.umno-reform.com mengkritik beliau. Kalau itu harapan mungkin media itu berjaya. Namun sekiranya itu bukan harapan maka media itu tersilap langkah - sokongan yang di beri rebah pula akhirnya. Terma seperti "over killing" dalam media harus di teliti kerana publisiti berlebihan akan hanya menyukarkan politik beliau.

Apa pun inilah senario semasa. Bila di tanya pada sesetengah pemuda UMNO - ada yang menyebut Dato Norza mengambil pendekatan yang salah dalam menunjukkan imej ortodoks Khairy Jamaluddin. Ini akan menyekat beliau - ini akan menjadikan beliau terikat pada satu kem yang mungkin naik atau mungkin tersungkur dalam perjalanan politik. Apa pun itu adalah perencanaan beliau. Pengiraan Khairy akan pergi jauh - dan diharapkan beliau dapat menuruti mungkin adalah strategi beliau. Sungguhpun begitu usaha - usaha lain perlu juga ada selaku Pemuda Wilayah Persekutuan. Perlu juga ada usaha untuk Pemuda UMNO Wilayah memainkan peranan penting dalam pembangunan baik sosial, ekonomi mahupun politik. Pemuda Wilayah Persekutuan seharusnya melibatkan diri secara khusus mengenai isu - isu semasa dalam Wilayah Persekutuan.

Pemuda UMNO perlu mengambil inisiatif untuk memastikan Melayu tidak ketinggalan dalam menuntut erti kemodenan dalam Wilayah Persekutuan serta memainkan peranan yang lebih jitu mengenai persoalan pengimbangan antara pembangunan fizikal, mental dan kerohanian.

Membaca setiap berita yang terpapar mengenai beliau hanya menunjukkan tidak ada satu pendekatan yang positif kehadiran beliau dalam sebagai memegang tampuk kepimpinan Pemuda UMNO di Wilayah Persekutuan.

Apa pun beliau lebih selesa di temu duga sedemikian rupa - tanpa terdapat cabaran kepada minda dan persoalan keupayaan beliau menerajui kepimpinan Pemuda. Kami cuba untuk mendapatkan temu duga dengan beliau namun usaha ini gagal mendapat perhatian dari beliau. Apa pun sebagai satu media independen yang agak lantang bersuara - kami akan terus membicarakan mengenai isu yang kami rasakan penting.

Dalam hal ini - itulah gambaran yang dipaparkan kepada kami oleh beliau - tidak lari dari hanya seorang ahli politik yang menyokong 150% Khairy Jamaluddin.
[b]


  1 - 7 of 7 articles  

On This Site

  • About this site
  • Main Page
  • Most Recent Comments
  • Complete Article List
  • Sponsors

Search This Site


Syndicate this blog site

Powered by BlogEasy


Free Blog Hosting